Jajaran Harapan UMNO, PH semakin kuat bunyinya? Kata PAS Johor

Poster Jajaran Harapan, gabungan UMNO dan PH, terus berlegar di media sosial.

PAS Johor membayangkan kehairanan mengenai berita yang semakin kuat tersebar mengenai kerjasama rakannya dalam Muafakat Nasional (MN), UMNO, dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Jajaran Harapan.

Walaupun UMNO menafikan kewujudan jajaran itu, PAS menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan kesilapan untuk bekerjasama dengan PH yang dilihat berperilaku ‘buruk’.

Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin berkata, partinya lebih mengenali PH yang disifatkannya sebagai berperilaku ‘buruk’ setelah dapat mentadbir negara.

Katanya, PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan parti dalam PH dan mendapati mereka ini ‘indah khabar daripada rupa’.

“Berita baharu yang semakin kuat didengar ketika ini adalah nama Jajaran Harapan, yang kononnya PH bersama UMNO akan bergabung untuk membentuk kerajaan baharu.

“PH semua orang tahu siapa dia, jadi jangan buat silap kali kedua. PAS miliki pengalaman panjang bersama mereka (parti-parti) yang ada dalam PH. Jadi kami mahu berpesan agar jangan terpedaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PH bercakaran sesama sendiri selepas memerintah hanya 22 bulan sebelum mereka rebah sekali gus menutup satu tragedi hitam dalam negara.

“Bersatu kemudiannya keluar menyelamatkan diri bersama PAS dan UMNO lalu membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Negara dan rakyat kembali tenang walaupun keadaan masih gawat dengan Covid-19 yang belum berakhir,” katanya.

Agenda Daily sebelum ini melaporkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya PN ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Poster Jajaran Harapan yang menampilkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama dengan pemimpin PH – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, terus berlegar di mesia sosial.

POPULAR