
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini disokong DAP.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu berjaga-jaga selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran tindakan disiplin bakal diambil terhadapnya selepas ini.
Zahid yang baharu sahaja ditabalkan Presiden untuk sepenggal lagi selepas usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi diluluskan berkata Lembaga Disiplin akan meneliti tuduhan yang dibuat oleh bekas Ketua Pemuda UMNO itu berhubung kewujudan pengundi import dalam dewan hari ini.
Dalam dakwaannya, bekas Menteri Kesihatan itu mendedahkan wujudnya usaha membawa masuk perwakilan import berkenaan bagi memastikan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin UMNO dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau ketika membuat dakwaan itu berkata, ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.
Khairy turut memuat naik satu video mengenai ‘perwakilan import’ menerusi Instagram, menunjukkan sekumpulan individu berbaju Melayu diberi taklimat dalam satu bilik khas di WTC Kuala Lumpur.
Video itu diiringi kapsyen: “Perwakilan ‘import’ diberi taklimat sebelum masuk Dewan Merdeka untuk menyokong usul ‘no contest’ (tiada pertandingan).
Dalam video berasingan, Khairy menyifatkan usul tambahan dikemukakan perwakilan UMNO Negeri Sembilan daripada Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin itu sebagai pelik, memandangkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.