
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto Agenda Daily Hiekal Rosly.
Walaupun kenyataan pemimpin DAP, P Ramasamy dilihat menyinggung orang Melayu tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak berani untuk mengambil pendirian tegas dalam isu tersebut.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II yang juga pemimpin veteran DAP baru-baru ini sebagai penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu, namun ia bukan suatu yang mengejutkan kerana itu adalah sikap sebenar parti tersebut.
“Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu!
“Namun, saya tidak terkejut dengan kenyataan P Ramasamy. Itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu. Apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentulah usaha untuk memecahkan dominasi ini menjadi tumpuan utama mereka.
“Perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.
Radzi berkata walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum, sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka.
“Adakah perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Melayu? Saya fikir kalau benar begitu, P Ramasamy pun tak boleh jadi Professor di UKM kerana UKM “didominasi” oleh orang Melayu.
“Selain P Ramasamy, ramai juga Professor bukan Melayu di UKM, iaitu sebuah universiti yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu,” ujarnya lagi.
Radzi juga membidas kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang dilihat tidak tegas dalam membuat teguran terhadap Ramasamy berhubung kenyataan tidak sensitifnya itu baru-baru ini.
“Seperti yang dijangka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya tidak akan ‘reprimand’ P Ramasamy. Kata beliau sepertimana yang dipetik Malaysiakini, ‘Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan) tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan’.
“Perdana Menteri tentunya sukar untuk berkeras dengan DAP kerana parti tersebut mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan campuran PH-BN. Keberadaan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah atas ihsan DAP.
“Maka untuk kekal sebagai Perdana Menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan,” katanya lagi.
Jika pemimpin pembangkang yang mengeluarkan kenyataan seperti Ramasamy, tidak dapat dibayangkan bentuk serangan yang akan dibuat oleh pemimpin kerajaan nanti, ujar Radzi lagi.
“Cuba bayangkan sekiranya perkara yang menyentuh kaum lain disentuh oleh pemimpin Perikatan Nasional, tentulah berduyun-duyun pemimpin gabungan PH-BN akan menuduh Perikatan sebagai rasis.
“Tapi bila Abang Besar DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata Abang Besar ini rasis! Cuma saya nak cakap, kita boleh baca ‘grand design’ kerajaan PH yang di dalamnya ada DAP ini.
“Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya!” ujarnya lagi.
Kelmarin Ramasamy dalam catatan di Facebook berkata sektor perkhidmatan awam telah diperkukuhkan dan kini memerlukan reformasi.
Pemimpin DAP itu berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi kaum Cina, tidak lagi terpakai.