
Datuk Lokman Noor.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan Datuk Lokman Noor Adam berhubung isu perjanjian dengan Perikatan Nasional (PN) semasa mahu menyokongnya menjadi Perdana Menteri sebagai cerita lama.
Naib Presiden UMNO itu berkata dakwaan Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi itu bukan sesuatu yang baharu walaupun perjanjian tersebut dipertikaikan kerana menjadi punca kepada hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak dikekalkan selepas diputuskan Mahkamah Persekutuan.
“Itu dah lama, bukan cerita baru,” katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai perjanjian beliau dengan PN lapor FMT.
Terdahulu, Lokman mendakwa Ismail Sabri bersetuju mengekalkan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara sebagai mematuhi terma syarat dengan PN.
Idrus disambung khidmatnya pada Mac 2022 selepas pentadbiran kerajaan Ismail Sabri mengambil alih daripada kerajaan PN.
Lokman juga menggesa supaya UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Ismail Sabri dan lantang mengkritiknya.
Menurut dokumen dibocorkan itu, Ismail Sabri didakwa bersetuju menyegerakan kes Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah.
Salinan surat itu tersebar pada Julai yang mengandungi 10 perkara, namun perkara 7, 8, dan 9 telah disunting.