
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung jawatan Menteri yang dipegang Datuk Zuraida Kamarudin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bertemu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan berhubung kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengesahkan sudah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri beberapa hari lalu dan menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan Ahli Parlimen Ampang tersebut yang bertindak lompat parti daripada Bersatu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ya, saya dah. Jumpa dengan Perdana Menteri beberapa hari yang lepas. Selepas saya agak menunggu lebih dekat tiga minggu, tak apalah.
“Mungkin dia sibuk tapi saya telah mengutarakan perkara-perkara penting,” katanya semasa sidang media hari ini di Kota Bharu, Kelantan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut membangkitkan perkara yang termaktub dalam perjanjian sebelum ini semasa menyokong Ismail Sabri sebagai PM yang menurutnya melibatkan berhubung isu lantikan jawatan dalam kerajaan.
“Saya telah mengutarakan perkara-perkara penting, yang ada hubung kait dengan soal pelantikan.
“Bukan saja mengisi kekosongan tetapi juga pelantikan-pelantikan baru yang patut dipertimbangkan sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian Perikatan Nasional dengan Perdana Menteri.
“Dia ada perjanjian itu. Kita tak, kita tak buka tapi itu ada lah (perjanjian) jadi kita tak minta lebih daripada apa yang ada di situ,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, Ismail Sabri diharapkan dapat membuat keputusan yang terbaik berhubung perjanjian yang dipersetujui sebelum ini dengan PN.
“Kedudukan PN, soal peruntukan-peruntukan adalah perkara yang tersenarai itu telah pun saya sampaikan pada Perdana Menteri dan saya telah minta seberapa segera yang mungkin beliau membuat keputusan yang saya harapkan keputusan yang baik,” katanya lagi.
Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai PBM.