
Usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden tetap tidak sah.
Ahli UMNO masih boleh membawa isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ke mahkamah untuk mencari penyelesaian setelah usul berkaitan perkara itu yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Sabtu lalu, dikatakan tidak sah.
Penganalisis politik yang juga seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata status sebenar usul itu kini bergantung pada pendirian Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Katanya terpulang kepada ROS sama ada meluluskannya usul itu atau menganggapnya tidak sah, kerana usul itu tidak boleh dikuatkuasakan tanpa kelulusan ROS.
“Jika ROS memutuskan usul itu sah dan masih ada yang tidak puas hati, ahli boleh membawanya ke mahkamah untuk mencabar usul tambahan itu,” katanya mengulas kemelut dalaman parti itu yang berpecah kerana ramai yang mahukan dua jawatan tertinggi – presiden dan timbalan presiden – dipertandingkan.
Kelmarin, PAU 2022 meluluskan usul tambahan supaya kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.
Pada sidang media selepas perhimpunan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan usul tambahan itu adalah sah dan tidak boleh dicabar kerana PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO.
Mengulas lanjut Shamsuddin percaya usul tambahan itu bertentangan dengan perlembagaan parti dan Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin sepatutnya menolak usul itu.
Katanya usul itu tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.
Menurutnya terdapat dua tafsiran digunakan penyokong usul itu, antaranya yang menganggap ia sebagai usul tambahan seperti disebut perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin yang mengemukakan usul berkenaan.
Katanya ada pula pihak menganggapnya sebagai pindaan usul mengikut Perkara 20 dalam Peraturan Persidangan PAU, seperti disebut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, Shamsuddin menegaskan usul itu, sama ada dianggap usul tambahan atau pindaan usul, tetap tidak sah kerana ia dikemukakan secara salah dan sepatutnya ditolak oleh Badruddin.
“Usul ini tak boleh dianggap pindaan usul kerana dalam tujuh usul asal, tidak langsung disentuh mengenai pertandingan dalam pemilihan parti. Ertinya, ini adalah usul berasingan.
“Jika usul berasingan atau dikatakan usul tambahan, cadangan dikemukakan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, bererti usul ini adalah untuk meminda Perlembagaan UMNO.
“Perlembagaan UMNO jelas memperuntukkan dua jawatan itu mesti dipilih setiap tiga tahun atau dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan.
“Jika usul meminda Perlembagaan, kena ikut peraturan iaitu jika dibawa perwakilan, mesti ada notis 14 hari dan perlu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terlebih dahulu. Ia tak boleh dibawa perwakilan secara on the floor (ketika perhimpunan).
“Apabila tidak ikut peraturan, usul ini, sama ada tambahan atau pindaan, adalah tidak sah dan sepatutnya ditolak Pengerusi Tetap dan tidak boleh dibahaskan, apa lagi diluluskan PAU,” katanya memetik laporan BH.
Ahmad dalam satu kenyataan menjelaskan, sudah mendapatkan nasihat peguam UMNO, yang berpandangan kaedah usul itu dikemukakan adalah sah mengikut Perkara 20 Peraturan Persidangan.