
Pembersihan dalaman UMNO sedang berjalan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15,
Sepatutnya UMNO meminta kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menangani isu berhubung permohonan yang dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pindaan untuk menangguhkan pemilihan parti.
Beberapa pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini menggesa supaya Ismail Sabri tidak melayan tuntutan Perikatan Nasional (PN) yang mahu janji yang dipersetujui sebelum ini ditunaikan, malah menegaskan PM berhak untuk tidak menuruti permintaan parti yang menyokongnya kerana mempunyai kuasa eksekutif.
Dalam erti kata lain, pendirian UMNO itu secara tidak langsung menunjukkan kuasa PM mengatasi kuasa ahli Jemaah Kabinet yang lain dan sebenarnya boleh menentukan hala tuju yang diinginkannya.
Bagaimanapun, sebaliknya RoS dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi tekanan dan Menteri daripada Bersatu menjadi sasaran untuk dipersalahkan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara sinis menjawab berhubung isu RoS yang masih belum memberi jawapan kepada permohonan UMNO untuk meminda Perlembagaan parti yang dibuat sejak Mac lalu.
“Kadang-kadang bila saya sebut ini, orang UMNO kata Perdana Menteri lebih berkuasa berbanding Menteri Dalam Negeri.
“Sebenarnya memang betul, saya pun sudah mengaku bahawa dia (Ismail Sabri) lebih berkuasa dari Menteri Dalam Negeri kerana Menteri Dalam Negeri tak ada kuasa tentang RoS. Jadi tak payahlah saya jawab soalan itu,” katanya dipetik laporan semasa sidang media di Parlimen semalam.
Hamzah daripada awal lagi menegaskan tidak akan masuk campur urusan RoS berhubung permohonan UMNO sebelum ini dan menegaskan agensi mengawal selia pertubuhan itu bebas membuat keputusan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.
Senario semasa dengan sebelum ini sangat berbeza apabila UMNO mendominasi keseluruhan kerajaan dan boleh menentukan hala tuju sesebuah kementerian sesuka hati, era UMNO berkuasa mutlak semasa zaman Datuk Seri Najib Razak sudah berakhir.
Jika era UMNO berkuasa mutlak masih berterusan, tidak mustahil kes-kes jenayah yang dihadapi kluster mahkamah tidak akan sampai ke muka pengadilan dan fail boleh ditutup dengan sewenang-wenangnya.
Ketika Ismail Sabri diminta memenuhi janji dibuatnya sebelum ini semasa mahu menjadi PM, dua ahli Majlis Tertinggi UMNO daripada kem Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil mempertahankannya dan mendesak supaya janji itu tidak ditunaikan.
Ahli MT UMNO, Datuk Razlan Rafii dan Isham Jalil menggesa supaya Ismail Sabri tidak tunduk kepada janji yang dituntut PN, ia juga disokong oleh Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang senada pendiriannya.
Ketiga-ketiga pemimpin MT UMNO ini mewakili suara kem Presiden parti, jadi sokongan dan tindakan mereka yang tiba-tiba menyebelahi Ismail Sabri selaku Naib Presiden sudah pasti mempunyai muslihat tersendiri. Bak kata pepatah “ada udang disebalik batu”, tetapi terpulanglah kepada Ismail Sabri untuk mentafsirkannya sendiri.
Malah, Asyraf seakan mahu melihat kerajaan dipimpin Ismail Sabri jatuh cepat apabila membuat provokasi lagi dengan mendesak supaya PN menekan butang agar pilihan raya umum (PRU) dapat diadakan dengan segera.
“Tak perlulah mengugut perdana menteri (Ismail Sabri) untuk mendapatkan juga jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri lain.
“Kalau nak tekan button, tekanlah sekarang,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Nampaknya, Asyraf yang kalah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini begitu beria-ria dan teruja untuk bertanding semula, jika menang mungkin untung dapat jadi Menteri selepas tidak diberikan jawatan walaupun UMNO sudah dominan di Putrajaya.
Untuk rekod, PN secara terbuka sudah menyatakan kekecewaan terhadap Ismail Sabri yang tidak mahu memenuhi janji yang dimerterai sebelum ini dan akan menghantar delegasi bagi berbincang berhubung isu tersebut.
Jadi, terpulang kepada Ismail Sabri untuk menentukan hala tuju masa depannya sebagai PM. Bukankah PM lebih berkuasa berbanding Menteri-menteri daripada parti yang lain?
*Artikel ini adalah sebuah analisis, janganlah Ismail Sabri nak saman lagi pula.