
Sanusi menjadi sasaran kerajaan dipimpin Anwar.
Pendedahan dibuat Datuk Seri Muhammad Sanusi melibatkan seorang warganegara Indonesia mempunyai hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa juga mahu melombong unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Menteri Besar Kedah itu yang diserang setiap hari berhubung isu lombong REE oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa individu warga Indonesia, ‘Reza Khalid’ pernah datang ke Kedah bersama Anwar untuk meninjau tapak lombong REE.
“Sebelum PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) diadakan, Anwar Ibrahim datang ke Kedah bersama seorang Indonesia namanya Reza Khalid. Saya lihat di portal, Reza jumpa seseorang dan rupanya Reza datang untuk memohon kawasan lombong REE.
“Beberapa minggu sebelum kita bubar DUN (Dewan Undangan Negeri), ada orang hubungi saya kata Reza nak bagi berapa ratus ekor lembu korban, tapi saya tak mahu kerana dekat pilihan raya takut jadi rasuah.
“Rupanya Reza hendak memohon tapak lombong REE, patut Pudin (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pulun sangat, sekarang saya tahu sudah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang PN DUN Pedu di Peka Naka malam tadi.
Jelasnya, serangan yang dihalakan terhadap kerajaan negeri dipimpin beliau mempunyai kaitan dengan individu warga Indonesia tersebut sehingga menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sering menyerangnya dalam isu lombong REE tersebut.
Bagaimanapun, Sanusi menegaskan aktiviti melombong itu perlu dilakukan mengikut undang-undang dan hasilnya perlu dikembalikan kepada rakyat Kedah.
“Saya kata siapa saja di dunia ada kepakaran, kemahiran dan ada duit nak mohon kawasan REE, boleh mohon dan kita luluskan dengan syarat hasil itu dipulangkan kepada rakyat Kedah.
“Sesiapa pun boleh mari. Anwar Ibrahim, Saifuddin, Reza Khalid boleh mari. Kita buka seluasnya boleh mari, janji buat kerja ikut undang-undang dan betul. Jangan tanah kita rosak, mineral kita hilang, duit kita tak dapat,” katanya.
Mengulas mengenai kecurian REE yang dikatakan mengakibatkan kerugian bernilai berbilion ringgit kepada Kedah, Muhammad Sanusi menjelaskan tapak lombong di Bukit Enggang, Sik berkenaan hanya seluas kira-kira lapan hektar sahaja.
Katanya, kawasan itu hanya mewakili kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kawasan Bukit Enggang yang dipercayai mempunyai rizab simpanan REE dalam jumlah yang sangat besar.
“Kenapa mereka kata (kerajaan negeri) rugi berbilion? (Tujuannya) nak menggambarkan kita tak pandai memerintah hingga harta hilang berbilion.
“Berapa luas kawasan yang dicuri itu? Dalam lawatan saya, kawasan yang dicuri itu 20 ekar (kira-kira 8 hektar) saja, tak sampai satu peratus (keluasan) Bukit Enggang. Kita ada banyak lagi rizab kawasan ada REE, sebab itu mereka menitis air liur,” katanya.