Isu pilihan logo, Anwar akui tidak tahu buat keputusan lagi

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiada sebarang pendirian dan keputusan rasmi berhubung isu penggunaan logo yang bakal digunakan dalam pilihan raya umum depan nanti.

Calon Perdana Menteri blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) itu mengakui tidak tahu untuk membuat keputusan berhubung pemilihan logo sama ada mahu menggunakan logo PKR atau logo rasmi PH yang berwarna putih merah.

“Saya tak boleh buat keputusan sendiri, jadi perlu dengar nasihat PKR peringkat negeri dan cabang,” katanya dipetik dalam laporan Malaysiakini.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian beberapa pemimpin DAP dan Amanah yang mendakwa Majlis Presiden PH pada 23 Ogos memutuskan logo gabungan itu akan digunakan oleh semua calonnya dalam PRU ke-15.

Namun, beberapa pemimpin PKR yang fanatik kepada Anwar berharap logo parti mereka digunakan dalam PRU nanti.

Bagaimanapun, Pemuda DAP tidak akan menerima cadangan untuk menggunakan logo PKR pada PRU akan datang, walaupun Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini menggesa semua parti dalam PH menggunakan logo parti mereka.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata cadangan daripada Ketua AMK Akmal Nasir tersebut adalah tidak wajar dan menegaskan hanya logo rasmi Pakatan Harapan (PH) sahaja akan digunakan dalam PRU nanti.

Semasa PRU Ke-14 lalu, logo PKR digunakan oleh semua parti dalam PH yang bertanding kerana gabungan PH belum didaftarkan. Ia senario yang berbeza dengan sekarang kerana waktu itu pendaftaran gabungan tersebut disekat oleh kerajaan pemerintah BN.

Jadi, apabila sudah berjaya didaftarkan sepatutnya logo rasmi PH yang perlu digunakan oleh parti-parti yang akan bertanding nanti.

Anwar berkata isu berhubung pemilihan logo perlu dirunding terlebih dahulu, persoalannya mengapa tidak membuat keputusan terus untuk menggunakan logo rasmi PH.

Ia secara tidak langsung menunjukkan hasrat Anwar yang mahu rakan parti dalam PH menggunakan logo PKR sama seperti PRU14 lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR