
Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Penyokong Datuk Seri Najib Razak dinasihati agar bertenang dalam menerima keputusan Lembaga Pengampunan.
Parti Amanah yang menggesa supaya Najib tidak diampunkan dan dibebaskan daripada hukuman penjara semalam meminta penyokong bekas perdana menteri itu menerima dengan terbuka apa jua keputusan dibuat Lembaga Pengampunan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ini kerana setiap persidangan lembaga itu adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kami juga pernah duduk di bahagian pembangkang dulu, pernah juga mengalami pelbagai apa hukuman. Kita lalui proses ini. Saya rasa kita harus bertenang, semua pihak juga melalui proses ini, negara kita ada undang-undang. Kita negara hukum, kena ada undang-undang.
“Semua pihak perlu bertenang termasuk penyokong beliau dan kita patuh. Kita akur kepada setiap apa yang berlaku yang akan diputuskan oleh pihak-pihak yang tertentu mengikut Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Mengulas lanjut, Salahudin berkata, parti itu berkeyakinan bahawa setiap parti dan individu yang sudah dijatuhkan hukuman masih mempunyai ruang undang-undang mengikut Perlembagaan untuk mereka merayu.
“Jadi bagi Amanah jelas bahawa walaupun hari ini berlaku kepada Datuk Seri Najib yang memohon pengampunan, bagi saya biarlah undang-undang itu yang menentukan.
“Itulah hak bagi setiap rakyat negara kita. Apa jua keputusan Lembaga Pengampunan ia adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita serahkan perkara itu kepada perundangan, dalam kata lain biar perundangan menentukan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
Dalam pada itu, media melaporkan Lembaga Pengampunan yang bersidang jam 11 pagi tadi tidak membincangkan permohonan petisyen bekas Perdana Menteri itu.