Isu forex, Dr M sindir Najib tiada wang dimasukkan dalam akaun peribadi

Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Razak yang sudah didapati bersalah dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) susulan tindakannya membangkitkan kerugian pertukaran mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Perdana Menteri (PM) dua kali itu berkata isu kerugian forex berbeza dengan kes pertuduhan rasuah dihadapi Najib kerana tiada wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, ia selepas didedahkan wang bernilai RM42 juta tiba-tiba berada dalam akaun bekas Presiden UMNO itu.

“Namun, dalam kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan SRC, jutaan masuk dalam akaun Najib dan dia dengan senang hati belanjakan wang itu untuk kepentingan dirinya,” kata Dr Mahathir dalam hantaran blognya hari ini.

Jelasnya lagi, Dr Mahathir berkata perbezaan skandal 1MDB dan kerugian forex ialah kerugian yang didakwa Najib itu hanya sekadar “cakap mulut” sahaja.

“Pegawai bank menyatakan BNM hilang RM30 bilion melalui perdagangan mata wang. Bank sorok kerugian itu dan saya pun dituduh turut menyorokkannya.

“Saya tidak terlibat dalam operasi sebenar BNM. Jika betul wang itu hilang, siasatan perlu dilakukan terhadap operasi BNM,” katanya lagi.

Ketika pentadbirannya, Najib menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian forex yang berlaku antara 1987 hingga 1992.

Dalam siasatan itu Dr Mahathir turut dipanggil untuk memberi keterangan sebagai salah seorang saksi.

Tindakan Najib pada 2017 itu dilihat sebagai respons beliau terhadap serangan Dr Mahathir ketika pendedahan skandal 1MDB memuncak dalam negara.

Bagaimanapun, RCI tersebut tidak lagi dijalankan susulan kejatuhan pentadbiran Najib dari Putrajaya.

Dr Mahathir juga turut berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap kerugian forex tersebut, mengatakan ia telahpun disahkan oleh pegawai kanan BNM pada ketika itu.

Beliau selanjutnya berkata, berbanding skandal 1MDB, isu forex tersebut tidak menyebabkan wang masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Pada 8 Disember, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan pertuduhan dan hukuman 12 tahun penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap Najib Julai tahun lalu, mengatakan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam bank akaun peribadi bekas PM Keenam itu membawa “malu kepada negara”.

BERITA BERKAIT
POPULAR