Isu calon PH: Marah, kecoh, tak puas hati bersarang di hati akar umbi

October 30, 2022 · Politik

Gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula dengan penuh dramatik apabila kemarahan dan rasa tidak puas hati menjejaskan pemilihan calon parti politik yang bertanding, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Sejak kebelakangan ini, perhatian telah tertumpu kepada bagaimana pembangkang akan menyusun semula strategi dan memperuntukkan ahli-ahlinya, terutamanya selepas ‘Langkah Sheraton’ yang terkenal yang menyaksikan pentadbiran PH berusia 22 bulan digantikan, dan dengan berlakunya Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti untuk mengelakkan pembelotan.

Walaupun parti-parti ini telah memperjuangkan kestabilan untuk negara melalui mandat politik yang kuat, ia nampaknya menjadi tugas yang sukar untuk mengukuhkan asasnya sendiri, menimbulkan persoalan sesiapa sahaja boleh mencapai majoriti yang “kuat, menggerunkan dan meyakinkan” bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

PKR cuba menjadi kreatif dan telus dalam percubaannya untuk meletakkan calon yang boleh dipercayai melalui pendekatan bebas untuk semua, tetapi inisiatif itu nampaknya telah gagal sepantas ianya bermula.

Hanya awal bulan ini, timbalan presidennya Rafizi Ramli melancarkan laman web untuk membolehkan ahli parti dan orang ramai mendaftarkan diri mereka sebagai bakal calon bertanding di bawah tiket parti, dan PKR menjangkakan sekurang-kurangnya 10,000 pencalonan akan masuk.

Rafizi berkata, keputusan untuk langkah itu adalah kerana pengundi kini melihat di luar parti politik apabila memutuskan sokongan mereka, dan semakin bimbang mereka boleh mengundi ahli politik yang hanya berminat dengan jawatan tetapi tidak memberi sumbangan apa-apa.

Tiada siapa yang tahu apa yang telah berlaku sejak itu dan berapa ramai orang yang mencalonkan diri mereka sendiri.

Dalam program mengumumkan calon di Ampang, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan R Sivarasa dengan pemimpin yang agak baharu, Datuk R Ramanan – dahulunya daripada MIC hingga telah menimbulkan beberapa kejutan dalam parti.

Ramanan ialah cucu kepada Tan Sri Devaki Ayathurai Krishnan, wanita pertama yang dipilih ke jawatan awam sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Devaki pada masa itu telah bertanding di bawah Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) apabila dipilih untuk kerusi majlis perbandaran Bangsar pada 1952 dan kemudiannya mengekalkan kerusi itu pada 1955.

Di laman web peribadinya, ahli politik itu menggambarkan dirinya sebagai seorang berwawasan dan patriot, yang “membawa pengalaman bertahun-tahun dan kecekapan yang berkaitan dengan inisiatif kerajaan, politik, kebajikan sosial, sosioekonomi, ekologi dan alam sekitar, seperti yang dapat dilihat dalam taklimat kerjayanya.”

Bagaimanapun, kehadirannya dalam arena politik kebanyakannya adalah sebagai ‘backbencher’, dengan sedikit atau tiada pengalaman dalam kempen pilihan raya, manakala pesaingnya yang dikhabarkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin jauh lebih menggerunkan.

Hanya beberapa hari sebelum pengumuman calon, kekecohan berlaku di pejabat PKR bahagian Batu Pahat selepas beberapa ahli dilaporkan menentang keputusan memasukkan beberapa nama sebagai calon Parlimen bagi PRU-15, menurut MalayMail yang memetik sumber.

Difahamkan isu itu bermula beberapa hari lalu selepas 10 nama dikatakan diserahkan kepada kepimpinan PKR sebagai calon Parlimen berpotensi untuk Batu Pahat, kawasan yang sangat diidamkan oleh PH. Bagaimanapun, daripada 10 nama itu, hanya seorang calon yang berpotensi dikatakan anak tempatan Batu Pahat.

Calon itu dikenal pasti sebagai Ketua Bahagian PKR Batu Pahat Khairuddin Abdul Rahim, yang juga bekas ADUN Senggarang.

Selepas pengumuman calon, Anwar yang akan bertanding di Tambun, Perak, mengakui adalah satu keputusan yang sukar untuk menggugurkan beberapa bekas ahli Parlimen, yang telah berkawan rapat sejak beberapa dekad, daripada barisan calon parti itu. Beliau bagaimanapun menegaskan perkara ini perlu dilakukan demi kebaikan parti dan masa depan negara.

Dalam satu tindakan mengejutkan beberapa penyandang ahli Parlimen digugurkan. Mereka ialah Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya); Datuk Johari Abdul (Sungai Petani); June Leow (Hulu Selangor); Chan Ming Kai (Alor Setar); dan Datin Paduka Tan Yee Kew (Wangsa Maju).

Turut tidak bertanding untuk pemilihan semula di kawasannya di Gopeng ialah bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, yang telah bersara.

Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua yang mengintai peluang untuk bertanding semula di Parlimen Batu, turut mengkritik pemilihan calon itu, setelah R Prabakaran dinamakan untuk mempertahankan kerusi itu.

Tian Chua meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan senarai calon yang diumumkan PKR tidak memuaskan hati orang ramai, khususnya penyokong parti.

Masalah juga timbul dalam DAP, selepas parti itu menggugurkan salah seorang daripada mereka yang terkenal, penyandang ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendapat sokongan padu pengundi.

Salah seorang etnik India yang paling dikenali dalam DAP yang didominasi etnik Cina, Charles telah berada di barisan hadapan dalam banyak sesi perbahasan penting di Parlimen, serta suara lantang dalam mencadangkan idea dasar untuk rakyat.

Bersama Charles, penyandang Bentong, Wong Tack turut digugurkan, manakala penyandang dua kali Batu Kawan, Kasthuriraani Patto, mengumumkan berundur untuk membuka jalan kepada penggantinya.

Pertikaian berlaku antara Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh, yang mengeluarkan kenyataan untuk menangkis komen Charles, selepas beliau mendakwa partinya tidak pernah memaklumkan kepadanya bahawa 2018 akan menjadi yang terakhir beliau akan diletakkan sebagai calon.

Wong juga meluahkan rasa terkilannya kerana digantikan di Bentong dan berikrar untuk bertanding di kerusi itu sebagai calon Bebas, manakala Yong Syefura Othman Muda yang merupakan penyandang kerusi DUN Ketari akan bertanding di Bentong. Menurut Loke, Wong juga telah menolak tawaran DAP untuk meletakkan beliau di Cameron Highlands.

Walaupun Kasthuri secara sukarela menarik diri daripada bertanding semula dan berjanji untuk membantu mana-mana calon yang dipilih untuk menggantikannya, Malay Mail telah mengetahui daripada orang dalam parti bahawa tindakannya itu adalah selepas bertahun-tahun mendapat tekanan daripada seorang kanan parti dan bekas ahli Parlimen yang mahukan kerusi Parlimen Batu Kawan.

Seolah-olah konflik dalaman belum lagi rumit, DAP juga dituduh “merampas” kerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) di tiga kawasan di Perak.

Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan Wanita Muda AMANAH, Nur Najihah Muhaimin, menggunakan Facebooknya untuk menghukum DAP dan AMANAH secara terbuka, menyeru pemimpin partinya supaya tidak tunduk kepada rakan gabungan mereka.

“DAP rampas kerusi AMANAH di Changkat Jong. Presiden AMANAH (Mohamad Sabu) tidak boleh lembik dengan DAP. Bertolak ansur ada hadnya. Ini semua sapu! Di Parlimen Teluk Intan dan DUN Pasir Berdamar serta Changkat Jong.

“Kita seharusnya berpegang kepada keputusan mesyuarat yang telah memberi ketetapan kerusi. Bukan kepada DAP,” tulis Nur Najihah.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana PKR telah mencalonkan Datuk Husam Musa dan Nik Omar Nik Aziz sebagai calonnya, sedangkan mereka adalah ahli AMANAH, dan pemimpin ikonik dalam parti itu.

“Untuk kita berdepan dengan sentimen DAP bukan mudah. Lebih-lebih lagi di kawasan majoriti Melayu. Ya kami sangat baik. Tetapi bagaimana dengan pencalonan uztaz Nik Omar dan Husam sebagai calon PKR? Ini adalah dua pemimpin ikonik AMANAH. Mengeluh. Kasihan,” tulisnya dalam catatan lain di Facebook.

Husam akan bertanding di Pasir Mas, manakala Nik Omar yang juga anak Allahyarham Nik Aziz di Pasir Salak, Perak.

Nik Omar yang bertanding sebagai calon AMANAH pada PRU lalu, membisu mengenai keahlian partinya apabila ditanya pemberita, selepas pencalonannya diumumkan pada 26 Oktober. Husam yang berundur sebagai Naib Presiden AMANAH, kekal sebagai ahli tetapi dengan pencalonannya dalam PKR, persoalan juga bertiup kencang tentang keahlian.

Sementara itu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) wajar melupakan PRU-15 apabila parti berkenaan sukar mengetahui siapa presiden, walaupun Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk Larry Sng masih presiden..

Larry yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau menegaskan minggu lalu, bahawa beliau masih presiden yang sah dan satu-satunya yang diberi kuasa untuk menandatangani watikah calonnya untuk bertanding pada PRU-15.

Kenyataannya itu dibuat selepas PBM sebelum ini berkata Datuk Zuraida Kamaruddin telah menggantikannya. Pada 8 Oktober, Setiausaha Agung PBM Nor Hiizwan Ahmad mengumumkan bahawa Zuraida telah menggantikan Karry sebagai presiden baharu PBM.

Krisis kepimpinan PBM menjadi lebih mendalam selepas Larry secara mengejut menggantung Zuraida dan 12 pemimpin lain daripada jawatan mereka dalam majlis tertinggi parti, yang menurutnya dilakukan mengikut perlembagaan PBM.

Mereka yang digantung ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Hari ini, ROS mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nawardi Saad berkata berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Dulu kritik PM jadi Menteri Kewangan, sekarang Rafizi kata boleh pula
7 jam lalu· Politik
Tarik sokongan dan desak PRU-15 masa banjir, siapa yang meroyan sebenarnya Zahid?
December 4, 2022· Politik
DAP telan setiap keputusan Anwar, malah sokong kleptokrat kembali
December 4, 2022· Politik
Selepas dilantik TPM, Zahid puji Anwar pula lantik diri sendiri jadi Menteri Kewangan
December 4, 2022· Politik
Popular
Shahidan cadang lagu ‘penyamun’ didendang PH kepada UMNO ditukar
December 5, 2022
Habuan calon MIC tarik diri: PH-UMNO mula nak salah guna kuasa
December 5, 2022
Wayang politik: Pakatan PH-UMNO kerajaan atau pembangkang?
December 5, 2022
Angkat semula kleptokrat, MP PKR malu nak ungkap lagi kata keramat ‘reformasi’
December 5, 2022
Lagi Politik terkini
Kabinet Anwar beri ‘kejutan biadab’ terhadap masyarakat sivil: SUARAM
1 jam lalu · Politik
Segerakan juga siasat pemimpin PH main isu sensitiviti umat Islam: Hadi
2 jam lalu · Politik
MP PKR malu, tertipu bila Anwar bersekongkol dengan kleptokrat
5 jam lalu · Politik
Kumpulan berfahaman kiri mudah pengaruhi kerajaan PH-UMNO
6 jam lalu · Politik
Wayang politik: Pakatan PH-UMNO kerajaan atau pembangkang?
6 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Muhyiddin tak takut disiasat, dakwaan RM600 bilion berniat jahat
3 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Ustaz Nassuruddin di ceramah PRK Padang Serai
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok