Isteri Anwar janji PKR letak ramai calon wanita, anggap kaum hawa lebih wibawa

Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjanji, akan mengetengahkan lebih ramai calon parti itu daripada golongan wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana menyifatkan kaum itu lebih berwibawa.

Memetik kajian Harvard Business Review bertarikh Jun 2019, isteri kepada Presiden PKR itu berkata, wanita memiliki banyak kelebihan berbanding lelaki.

“Insya-Allah di PRU yang akan datang akan lebih ramai lagi calon wanita yang akan parti ketengahkan.

“Kerana mereka miliki kelebihan antaranya ialah dalam hal-hal mengambil inisiatif, mereka lebih resilent atau berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri (self-development), berbuat sesuatu dengan didorong oleh keputusan, mempamerkan integriti yang tinggi serta jujur,” katanya ketika memberi ucapan pembukaan bersempena Persidangan Wanita Kongres Nasional PKR secara maya hari ini.

Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 berlangsung selama tiga hari membuka tirai persidangannya hari ini secara maya sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ia sekali gus menjadi persidangan yang pertama kali diadakan sedemikian sepanjang penubuhan parti berkenaan yang kini menginjak usia 22 tahun.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, wanita juga lebih efektif dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Mereka juga dipercayai 84 peratus lebih efektif dalam ukuran kompetensi. ditambah lagi dengan sifat semulajadi keibuan serta tahap kesabaran yang tinggi, wanita mampu menjadi pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang lebih perihatin dan empati terhadap rakyat,” tegasnya.

Justeru bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, wanita PKR mulai hari ini perlu peka perkembangan semasa dan menguasai isu-isu dasar.

“Bila kita kelak berada dalam kalangan mereka yang menggubal dasar di Parlimen bahkan juga Dewan Undangan Negeri, wanita-wanita di luar sana khususnya dan masyarakat lain umumnya mahu kita menjadi suara mereka, cakna dengan isu-isu semasa dan mampu mencadangkan penyelesaian terbaik dalam permasalahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Fuziah Saleh berkata sudah mengenal pasti sembilan kerusi Parlimen untuk ditandinginya pada PRU-15 akan datang dalam usaha merealisasikan sasaran 20 ahli Parlimen daripada sayap itu selepas PRU berkenaan.

Pada masa ini sayap itu diwakili oleh 11 ahli Parlimen.

“Hasrat kita pada pilihan raya umum akan datang ialah memastikan bahawa 11 kerusi ini dikekalkan sebagai kerusi Wanita,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR