
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan menolak desakan beberapa pihak, terutama daripada Pemuda UMNO, supaya menarik balik pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa pelantikan Tajuddin bagi jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Itu (lantikan Tajuddin) sudah diluluskan Kabinet dan diserah pada Agong… dah dapat perkenan (Agong). Sepatutnya dah serah watikah…tapi Agong gering waktu nak serah (watikah)..tapi lepas ni akan diserahkan.
“Jangan kita persoalkan kuasa Agong pula. Agong dah perkenan, (takkan) kita (kerajaan) pula nak tarik balik,” katanya menurut Bernama.
29 Jun lalu, Pemuda UMNO menerusi Exconya, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mendesak Ismail Sabri menarik balik pelantikan Tajuddin yang dianggapnya tidak layak memegang jawatan besar tersebut bagi menjaga imej negara daripada tercalar.
Desakan itu dibuat susulan, serangan Tajuddin terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakannya berbohong kepada ahli UMNO mengenai slogan ‘No DAP, No Anwar’ sebaliknya Presiden UMNO itu sendiri menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Terdahulu, Tajuddin mendedahkan beberapa perkara dalaman parti, antaranya pengakuan dirinya sendiri menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama dan Presiden PKR itu.
Selain itu, dikatakan terdapat pertemuan antara pimpinan UMNO di kediamannya pada Mei 2020 untuk meminta supaya Zahid turun daripada jawatan Presiden.
Dalam sidang media sama tersebut, Tajuddin mendakwa Zahid tidak layak untuk kekal sebagai Presiden dan perlu meletak jawatan kerana menjadi liabiliti kepada UMNO ekoran kes mahkamah yang sedang dihadapinya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menafikan dakwaan wujudnya dua kem dalam UMNO, sebaliknya menegaskan hanya ada satu kumpulan yang mengetuai pucuk pimpinan parti itu.
“Tiada kem dalam UMNO… hanya ada satu kem dalam UMNO,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti itu sehingga 16 Julai ini.
Pada Mei lepas, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum memberi ruang kepada ahli untuk memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.