
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga hari ini masih belum memanggil parti-parti komponen dalam kerajaan pusat untuk membincangkan berhubung isu mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadir Awang setakat ini tidak ada jemaah menteri daripada parti itu dipanggil Ismail Sabri sekiranya mahu pembubaran Parlimen diumumkan bagi memberi laluan PRU-15 diadakan.
Bagaimanapun, kenyataan Hadi tersebut agak berbeza dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini yang mendakwa Ismail Sabri sudah berjanji untuk mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga bukan tahun depan.
“Sehingga hari ini tak ada. Sepatutnya, dia (Ismail Sabri) panggil bincang sebab kita dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media Muktamar Pas Ke-68, di sini, hari ini.
Jelas Hadi lagi, jika Parlimen dibubarkan tahun ini, PAS tidak akan membubarkan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Sekiranya kerajaan Pusat bubar dan buat PRU, negeri yang PAS perintah kita takkan bubar. Kita takkan bubar sehingga Mac tahun depan,” katanya dipetik laporan media.
Terdahulu, Mohamad dipetik laporan media mendakwa Ismail Sabri menyatakan bahawa PRU-15 tidak akan dilaksanakan tahun depan, tetapi tidak memaklumkan bila tarikh yang tepat.
“Pilihan raya umum sudah tidak lama, Perdana Menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh takkan dia hendak bagi tarikh sehingga dia terpaksa kata takkan saya hendak bawa tahun depan.
“Jadi, jelas sangatlah, jelas pilihan raya tahun ini. Kalau pilihan raya umum (PRU) tahun ini takkan hendak buat bulan 12, nanti orang berenang pula pergi mengundi. Bulan 12 di Pahang bukan calang-calang banjir.
“Jadi, itu jangka masa yang kita perlu perhatikan betul-betul, gerak kerja kita, kita buat sebelum bulan 12,” katanya semasa program parti itu baru-baru ini di Kuantan, Pahang.