Ismail Sabri ‘poster boy’ BN PRU-15, bukan Zahid yang ada kes mahkamah

Memang wajar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ketika Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berdepan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah.

Seperti juga ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu, Menteri Besar (MB) Datuk Hasni Mohammad menjadi ‘poster boy’ kerana peranan terbaiknya dalam pentadbiran negeri, hingga BN mencapai kemenangan besar.

Bagaimanapun, Hasni tidak diangkat semula menjadi MB, sebaliknya Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meletakkan kepercayaan kepada anak muda berusia 43 tahun, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menggalas tanggungjawab sebagai MB.

Isu Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri menjadi ‘poster boy’ BN bagi menghadapi PRU-15 dibangkitkan wakil Puteri UMNO Pahang, Salmiah Ab Rahman yang melihat Naib Presiden UMNO itu calon sesuai untuk ditampilkan sebagai watak utama BN.

“Poster boy memainkan peranan yang penting dalam kemenangan dalam pilih. Poster boy memainkan peranan yang penting dalam kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Justeru, kita harus menyokong Ismail Sabri bagi mengekalkannya sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti,” katanya memetik laporan UtusanTV hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berbahas sempena Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.

Sebelum ini, Zahid yang juga Pengerusi BN berkata gabungan itu belum memutuskan siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ untuk PRU-15.

Terdahulu, desakan semakin kuat, khususnya ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bermula semalam, supaya Perdana Menteri membubarkan segera Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

Ini setelah BN dan UMNO begitu yakin akan memperoleh sokongan rakyat susulan kemenangan di beberapa Pilihan Raya Kecil dan PRN.

Terbaharu pada PRN Johor baru-baru ini, BN mencapai kemenangan besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR