
Gambar yang tersebar di media sosial mendakwa Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa pemimpin PAS di di Kelab Golf dan Resort Tropicana di Petaling Jaya, pada 25 November 2022. - Gambar media sosial
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya beliau dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan sulit di Jakarta minggu lalu, yang boleh menjejaskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khabar angin itu mula tersebar dalam talian berikutan ketidakhadiran Ismail Sabri dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Disember lalu, lapor portal berita Malaysiakini semalam.
“Kalau nak fitnah orang, biarlah munasabah. Rekod imigresen sepatutnya menunjukkan bahawa saya tidak meninggalkan negara ini. Maknanya saya berada di negara ini.
“Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemfitnah itu,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Tambahnya, pada hari itu, beliau makan tengah hari bersama seorang wartawan veteran dan kemudiannya menghadiri majlis perasmian Rainforest Challenge International di kawasannya di Pahang.
Nama wartawan veteran itu tidak disebut dalam laporan Malaysiakini.
Portal berita itu melaporkan bahawa khabar angin “Langkah Jakarta” disebarkan oleh orang yang tidak dikenali di media sosial yang mendakwa dua bekas perdana menteri itu telah bertemu di ibu negara Indonesia dan “merancang sesuatu”.
Anwar mempengerusikan gabungan Pakatan Harapan yang memenangi 82 kerusi daripada 222 di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15, gagal mendapatr majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Pada masa sama, Perikatan Nasional yang mendapat 74 kerusi Parlimen juga gagal membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, UMNO diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar yang kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri kesepuluh dengan membentuk kerajaan yang turut disertai DAP.
Pada 26 November lalu, Ismail Abri juga menafikan terdapat perjumpaan tertutup yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional serta PAS di Kelab Golf dan Resort Tropicana di Petaling Jaya, sebagaimana diperkatakan.
“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya.
Ismail Sabri adalah antara pemimpin yang dilaporkan menentang kerjasama UMNO dan DAP.