Ismail Sabri kena elak bawa UMNO dicemari rasuah ke dalam kerajaan

Penganalisis politik luar negara dilihat memberi persepsi negatif dan ‘amaran awal’ kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menjarakkan dirinya daripada Kluster Mahkamah dan kumpulan kleptokrasi di dalam UMNO.

Mereka menyifatkan pelantikan Ismail Sabri meletakkan kembali UMNO sebagai ‘pemandu’ sekali gus memberi kelebihan kepada Kluster Mahkamah dan kumpulan kleptokrasi yang turut berada di dalam parti itu.

Walaupun melihat pelantikan Ahli Parlimen Bera itu pada dasarnya memulihkan kembali pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri tidak terlepas daripada pandangan negatif kerana beliau juga adalah Naib Presiden UMNO, parti yang menurut penganalisis politik antarabangsa ditumbangkan gara-gara skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia.

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, Australia, Prof James Chin menyifatkan pelantikan Ismail Sabri meletakkan semula UMNO di ‘tempat duduk pemandu’.

Malah dalam kenyataan di laman Twitternya hari ini susulan pelantikan Ismail Sabri, James Chin berkata UMNO akan memperkuatkan kedudukannya dan sama ada akan menyerap Bersatu atau menghapuskannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya mengesyaki bahawa apabila kerajaan stabil, UMNO kemungkinan akan menggunakan tenaga dan sumber untuk menyerap Bersatu atau menghancurkannya pada PRU akan datang,” katanya.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia mengikut peruntukan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, setelah 114 Ahli Parlimen daripada 220 kerusi di Dewan Rakyat, mengundi menyokongnya.

Ismail Sabri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang ini.

Penyelidik dari Institut Hubungan Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun pula berpendapat Ismail Sabri berdepan gabungan yang tidak stabil kerana majoriti tipis serta perpecahan di dalam UMNO.

“Masih ramai di dalam UMNO yang tidak menyukainya kerana mereka berpendapat bahawa beliau mengkhianati parti (apabila kekal bersama PN) dan dengan mengkhianati parti itu juga beliau mendapat jawatan nombor satu negara,” katanya seperti dilaporkan Aljazeera.

Beberapa pemimpin UMNO, termasuk Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kini berdepan berpuluh tuduhan jenayah di mahkamah ketika negara ditadbir UMNO sebelum kalah pada 2018.

Zahid dan Najib tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu. Bagaimanapun tahun lalu, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes SRC International dan dihukum penjara 12 tahun serta denda. Najib bagaimanapun mengemukakan rayuan berhubung hukuman itu.

Manakala Zahid pula berdepan lebih 80 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam. Perbicaran masih dijalankan.

Sebelum ini, Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang setelah kira-kira 18 bulan mentadbir negara susulan tindakan ‘Blok 15’ Ahli Parlimen UMNO diketuai Zahid menarik diri daripada menyokong PN dan Muhyiddin.

Dalam kenyataannya kemudian Muhyiddin memberitahu ada pihak yang mendesak beliau campur tangan membebaskan individu tertentu daripada tuduhan jenayah di mahkamah.

Keengganan beliau menurut telunjuk pihak terbabit menyebabkan ‘Blok 15 UMNO’ menarik diri daripada menyokongnya. Akibatnya beliau hilang majoriti sokongan di Dewan Rakyat dan meletak jawatan.

Penganalisis politik berpendapat Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri Malaysia kini dibayangi Kluster Mahkamah dan kumpulan kleptokrasi di dalam partinya dan menyukarkan beliau membuat keputusan.

Jika dulu Muhyiddin adalah Perdana Menteri daripada parti lain, kini Ismail Sabri adalah daripada parti yang dituduh terbabit dengan skandal kewangan memalukan.

Justeru, Ismail Sabri wajar mengelak tajuk berita ‘PM baru Malaysia bawa kembali UMNO yang dicemari rasuah mentadbir negara’.

BERITA BERKAIT
POPULAR