Ismail Sabri ingatkan UMNO kerajaan sekarang dibentuk dengan sokongan parti lain

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan ahli parti itu bahawa kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang ini bukan disebabkan UMNO menang Pilihan Raya Umum (PRU).

Sebaliknya kata beliau, kerajaan sekarang ini dibentuk dengan kerjasama parti lain, tetapi ramai yang terlupa mengenai perkara itu.

“Kita bentuk kerajaan hari ini bukan kerana kita menang PRU tetapi kerana kita bekerjasama dengan parti lain. Kita seolah-olah lupa perkara itu.

“Tujuan asal penubuhan UMNO adalah untuk menyatupadukan umat Islam dan Melayu, namun sebaliknya yang terjadi sekarang apabila wujud beberapa kem dan pergeseran dalam parti,” katanya.

Kenyataan beliau ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera, bertepatan dengan sokongan beliau terhadap Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

Kerajaan yang diterajui beliau sebagai Perdana Menteri sekarang mendapat sokongan daripada lebih 50 Ahli Parlimen (MP) PN dan Bebas. Ketika PN memerintah negara sejak Mac tahun lalu dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri dilantik sebagai menteri kanan dan kemudian Timbalan Perdana Menteri.

Ketika kerajaan PN berdepan krisis sokongan selepas menerima tekanan daripada kumpulan diketuai Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri serta beberapa MP UMNO dilihat memihak kepada Muhyiddin dan PN.

Bagaimanapun, Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan setelah Zahid membawa 14 MP UMNO mengkhianati sokongan kepada PN. Muhyiddin dan PN kemudian memberi sokongan kepada Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri.

Ismail Sabri juga diberi peranan khas oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk berbincang dengan Bersatu, khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menggesa UMNO kembali kepada asas perjuangan parti dalam membawa kesepaduan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam, bagi memastikan kemenangan parti itu pada PRU akan datang.

Beliau juga mengingatkan ahli parti untuk menjadikan kekalahan pada PRU14 yang lalu sebagai peringatan, mengenai kepentingan kesepaduan dalam parti.

Naib Presiden UMNO itu juga mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu mendabik dada dengan kemenangan besar parti itu pada PRN Melaka baru-baru ini dengan menggesa PRU diadakan secepat mungkin.

“Tujuan asal penubuhan UMNO adalah untuk menyatupadukan umat Islam dan Melayu, namun sebaliknya yang terjadi sekarang apabila wujud beberapa kem dan pergeseran dalam parti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR