Ismail Sabri hanya ‘bakal pengantin’ jika tak jadi Pengerusi BN: Annuar

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya akan menjadi ‘bakal pengantin’ sekiranya beliau tidak dilantik menjadi Pengerusi Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas rasional di sebalik cadangannya, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata jika Ismail Sabri tidak diangkat menjadi Pengerusi BN beliau hanya menjadi ‘lame duck Prime Minister’ yang pastinya akan sekali lagi mewujudkan ketidakstabilan kerajaan pimpinannya.

Menurutnya jika Ismail Sabri sendiri telah dinamakan sebagai calon dan bakal Perdana Menteri (PM) oleh UMNO dapat menjadi nakhoda BN sebagai pengerusi, maka beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh bergandingan dalam menjamin kemenangan.

“Semua ini hanya boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya Ismail Sabri sendiri memimpin BN dan bertindak sebagai Pengarah Utama PRU-15.

“Jika tidak, beliau tidak lebih dari hanya bakal pengantin, yang ijab dan kabulnya terletak kepada imam dan wali serta bakal pasangan yang belum tentu menjadikan impian satu kenyataan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata cadangan mencalonkan Ismail Sabri sebagai PM yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak mempunyai sebarang makna sekiranya parti tidak mampu memenangi PRU dengan memiliki kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Annuar berkata dalam kemungkinan UMNO tidak berupaya memenangi sekurang kurangnya 112 kerusi secara solo, jawatan PM tidak boleh di tentukan oleh parti itu sahaja, sebaliknya perlu ditentukan bersama oleh komponen BN.

“Selanjutnya perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, yang datangnya dari pelbagai parti lain lagi.

“Ini bermakna Ismail Sabri, setelah dinamakan sebagai calon PM UMNO, perlu memikul tanggungjawab mencari the winning formula untuk parti. Ini bukan satu perkara mudah, apa lagi jika tanpa satu kedudukan yang kukuh dalam parti dan organisasi pilihan raya,” katanya.

Annuar turut menggariskan perhitungan yang perlu dilakukan Ismail Sabri, termasuk kemungkinan memikirkan ‘sekutu’ yang sesuai bagi memastikan BN mencapai kemenangan dengan melibatkan keyakinan parti-parti lain untuk memberikan sokongan kepada beliau.

BERITA BERKAIT
POPULAR