Ismail Sabri dicalon UMNO sebagai PM pada PRU-15, bukan Zahid

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalon sebagai Perdana Menteri (PM) bagi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 depan, ia secara tidak langsung melanggar tradisi UMNO yang kebiasaannya meletak Presiden sebagai calon bagi jawatan tersebut.

Pengumuman Ismail Sabri sebagai PM dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung petang tadi dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“MT UMNO sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri Yaakob menjadi calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang,” kata kenyataan itu.

Keputusan itu di tengah spekulasi berkenaan kedudukan Ismail selepas PRU akan datang.

Ketika PRN Johor sebelum ini, Zahid membayangkan BN belum memutuskan siapa yang akan akan menjadi ‘poster boy’ gabungan itu untuk PRU-15.

Pengumuman terbaharu ini memberi bayangan kemungkinan PRU-15 akan diadakan pada masa terdekat selepas gesaan supaya ia disegerakan timbul semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung Mac lalu.

Semasa PAU lalu, Zahid memberi kelonggaran kepada Ismail Sabri untuk menentukan masa yang sesuai dan mengikut budi bicaranya berhubung pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata mendengar semua pandangan perwakilan sepanjang perjalanan persidangan PAU 2021 yang berlangsung membangkitkan agar PRU-15 disegerakan, namun perbincangan yang teliti perlu dijalankan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.

“Ini juga akan dibincangkan dengan MT dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” kata beliau ketika berucap semasa hari PAU pada Mac lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR