Ismail Sabri calon PM selepas PRU-15, PAS sambut baik keputusan UMNO

Pengumuman UMNO mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dialu-alukan PAS yang menyambut baik langkah tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengharapkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu dapat meneruskan agenda perpaduan yang melibatkan semua parti tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara dapat dipelihara.

“PAS menyambut baik keputusan UMNO mencadangkan agar Datuk Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Calon Perdana Menteri Malaysia selepas PRU-15 nanti.

“Sebagaimana buat masa ini PAS mendokong serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri Ke-9 ini, PAS mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga berkata memorandum persefahaman (MoU) yang dimerterai antara kerajaan dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) perlu dikekalkan sehingga pembubaran Parlimen bagi memastikan proses pemulihan negara yang sedang dirancang dan berjalan dapat dilaksanakan dengan baik.

“PAS juga yakin MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak pembangkang yang pada umumnya yang berkuatkuasa dari tarikh ianya ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Ismail Sabri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata,” katanya lagi.

Terdahulu, UMNO semalam mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon mereka bagu menghadapi PRU-15 depan, ia secara tidak langsung melanggar tradisi UMNO yang kebiasaannya meletak Presiden sebagai calon bagi jawatan tersebut.

Pengumuman terbaharu ini memberi bayangan kemungkinan PRU-15 akan diadakan pada masa terdekat selepas gesaan supaya ia disegerakan timbul semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung Mac lalu.

Semasa PAU lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kelonggaran kepada Ismail Sabri untuk menentukan masa yang sesuai dan mengikut budi bicaranya berhubung pembubaran Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR