Isham Jalil dakwa laporan Agenda Daily berunsur fitnah, desak minta maaf

Isham Jalil.

Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib, Isham Jalil mendakwa laporan berita yang ditulis Agenda Daily bertajuk “Penyokong fanatik Najib ugut kudeta jika Parlimen tidak dibuka” berunsur fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Dalam satu kenyataan, Isham berkata memberi peluang kepada Agenda Daily untuk membetulkan artikel berita tersebut dan meminta maaf secara terbuka jika berlaku kekhilafan dalam laporan yang disiarkan.

“Merujuk kepada artikel berunsur fitnah dan berniat jahat ke atas saya bertajuk “Penyokong fanatik Najib ugut kudeta jika Parlimen tidak dibuka” yang telah disiarkan oleh portal Agenda Daily semalam, setelah berbincang dengan peguam saya, saya mengambil langkah pertama berikut:

“Memberi tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh hari ini untuk portal tersebut membetulkan artikel tersebut dan memberi peluang kepada mereka untuk meminta maaf secara terbuka jika mereka telah terkhilaf,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor itu tidak menjelaskan bahagian laporan yang didakwa Agenda Daily memfitnahnya walaupun laporan tersebut adalah berdasarkan ucapannya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Namun, Isham berkata memahami terdapat media yang membuat sensasi dalam isu-isu politik dengan spin tajuk laporan dan itu adalah perkara biasa, cuma ia tidak boleh berlebihan.

“Sekiranya perkara di atas tidak dilakukan oleh mereka dengan memuaskan, saya akan mengambil langkah seterusnya.

“Saya faham kecenderungan sesetengah media untuk membuat sensasi terutama dalam isu-isu politik dengan spin tajuk dan sebagainya, itu adalah perkara biasa.

“Namun jika sensasi itu berlebih-lebihan dan membawa kepada fitnah dan berita palsu, itu saya perlu tegur sedikit (dan jika pihak terbabit berdegil juga, tindakan lanjut),” katanya lagi.

Untuk rekod, laporan Agenda Daily adalah berdasarkan video yang dimuat naik Isham dan dibawah adalah transkrip penuh ucapannya yang disiar dalam berita tersebut:

Isham Jalil:

Di antara kuasa Raja dengan kuasa Parlimen dengan kuasa Eksekutif biasanya akan jadi apa? Kalau di England dulu jadi perang, 400 tahun dulu tapi baru-baru ini di Thailand apa yang berlaku, tahun 2006 dengan 2014 ada rampasan kuasa… rampasan kuasa, kudeta daripada pihak tentera dan di Thailand pihak tentera ini dia rapat dengan monarki dengan King dia.

Sebab itu kita lihat dalam Privy Council Majlis Raja-Raja dia ada 13 orang dalam Privy Council dia lebih daripada separuh penasihat-penasihat Raja adalah daripada tentera.

So rampasan kuasa boleh dikatakan boleh dilihat pemerhati-pemerhati politik berkata rampasan kuasa di Thailand pada 2006 dan 2014 sebenarnya direstui oleh Raja datang daripada monarki.

So sekarang ini kita lihat di Malaysia, negara jiran kita telah berlaku dua kali. So takkan kita menjurus kepada situ juga, so kita ada krisis politik selepas ini kita nak masuk krisis Perlembagaan sehingga membuka risiko negara kita kepada rampasan kuasa kudeta pula.

Sebab kita terpaksa memaksa orang-orang yang degil ini tak nak juga buka Parlimen. So kita nak restore balik demokrasi kita terpaksa buat macam Thailand pula. Agong sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera takkan nak suruh dia memerintahkan angkatan tentera untuk buat kudeta pada kerajaan sebab krisis Perlembagaan ini.

Dah lah sekarang apa yang dibuat oleh kerajaan kita menteri ini Takiyuddin dan sebagainya in access meletakkan YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dalam satu keadaan yang sukar dan juga dalam satu keadaan yang tidak selesa.

Mereka nak push the hand of Agong untuk bersetuju dengan mereka pada hal Agong semalam dah cakap untuk buka segera.. ehh balik-balik mereka kata masih September atau Oktober so in access mereka ingkar dan mereka nak paksa Agong pula untuk ikut cakap mereka daripada sebaliknya sepatutnya mereka yang perlu ikut titah baginda…

So sebab itu saya kata kita akan lawan mereka dalam perkara ini. Mereka tidak boleh berdolak-dalik lagi untuk membuka Parlimen dengan segera. So apa-apa pun kita lihat perkembangan hari ini.

Kalau mereka ketegar juga berdegil lagi maka kita perlu buat sesuatu contohnya macam saya dah cakap daripada awal dulu sebab itu mungkin Menteri-Menteri UMNO perlu tarik diri segera daripada kerajaan sekarang sebab apa.

Dengan cara tarik diri inilah kita boleh berbuat sesuatu dan boleh memaksa pembukaan Parlimen dan supaya kita boleh menukar dasar-dasar yang gagal oleh kerajaan dengan serta-merta supaya kesihatan dan juga kepentingan nyawa rakyat ini kita boleh jaga lebih baik daripada sekarang.

Angka Covid semakin lama semakin tinggi. So kerajaan sekarang telah gagal selepas setahun lebih mereka memerintah dan selepas enam bulan darurat.

POPULAR