Inilah DAP yang sebenar, Ronnie Liu sudah dedahkan

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir ‘bangga’ kerana akhirnya ada pemimpin utama DAP yang sekarang ini mengaku status parti itu sebagai pejuang hak kaum Cina.

“Ronnie tak pandai berbohong dalam hal ini malah berbangga dengan status partinya sebagai pejuang hak masyarakat Cina. Cuma yang mahu lompat berkuasa dalam DAP (kerana kini musim pemilihan dalam DAP) yang tak sanggup berterus-terang,” katanya .

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Ronnie Liu bahawa DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia dan perlu bekerjasama dengan parti Melayu lain, tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina.

Katanya, DAP sememangnya sinonim dengan memperjuangkan kepentingan bukan Melayu sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu.

Kerana itu, katanya, DAP dilihat satu-satu parti pejuang kelompok bukan Melayu hingga hampir berjaya menyapu bersih undi kaum Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Roslan berkata, perlembagaan DAP dengan jelas menyatakan matlamatnya adalah untuk mempertahankan Perlembagaan Negara sebagai perlembagaan sekular iaitu yang memisahkan urusan negara dan agama, sedangkan orang Melayu bukan begitu.

“Lalu dalam keghairahan mereka menakluk undi Melayu melompat dan marahlah kalangan pimpinan mereka apabila Ronnie mempertahankan wajah sebenar DAP. Apa nak marah kerana hakikatnya begitulah DAP.

“Agenda Malaysian Malaysia yang dilihat mengancam kedudukan hak istimewa orang Melayu itulah agenda mereka iaitu menekankan meritokrasi dan hak sama rata buat semua tanpa menghirau kontrak sosial yang membina asas negara ini.

“Risau susah dapat sokongan orang Melayu. Dan orang Melayu sendiri bagaimana? Ada hati pada DAP?,” katanya.