Ini PAU PRU: Naib Ketua Pemuda

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang diadakan sejak semalam adalah PAU Pilihan Raya Umum (PRU), kata Naib Ketua Pemuda parti itu, Shahril Suffian Hamdan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata parti itu sudah perlu membuat pembahagian kerusi dan calon supaya tidak berlaku krisis pengurusan seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Di ambang semboyan (PRU) nak ditiup… UMNO mahu memasuki medan pertempuran untuk menang bukan untuk cuba nasib. Bukan dengan perasaan teragak-agak sama ada boleh menang.

“Tetapi dengan sebuah keyakinan bahawa susun atur parti kita sudah cukup kemas untuk kita menang iaitu satu kemenangan mutlak.

“Kemenangan mutlak yang akan membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali memimpin negara tanpa menagih simpati dan ehsan pihak lain.

“Kita nak menang tak perlu kongsi kuasa, tak perlu kongsi pentadbiran, tak perlu agih-agih jawatan sebab takut orang tekan butang. Biar kita saja yang memimpin, itu kemanisan yang kita cari,” katanya menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, hari ini.

Bagaimanapun Shahril Suffian mengingatkan bahawa UMNO tidak boleh selesa dengan momentum dan gelombang yang ditunjukan pengundi dalam PRN sebelum ini kerana PRU jauh berbeza.

“Selepas kemenangan di Melaka… kemenangan bergaya di Johor… kita anggap gelombang itu momentum itu sentimen itu bersama dengan kita. Tapi di peringkat nasional untuk PRU… benda boleh berubah cepat… mood pun boleh jadi lain.

“Pembangkang boleh bersatu dan pengundi mereka boleh keluar lebih ramai,” katanya.

Menurutnya UMNO dan BN perlu memenangi minimum 112 kerusi untuk boleh mentadbir negara secara mutlak tanpa perlu menagih ehsan parti-parti lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR