
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan, bukan dasar ekonomi yang baik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu yang mengulas kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu seolah-olah “mengorek satu lubang untuk menutup lubang yang lain”.
“Tuan-tuan tahu seorang menteri kewangan yang kononnya menteri kewangan yang paling cerdik di dunia… pemberita tolong laporkan… menteri kewangan yang baharu ini… yang mendapat nasihat daripada puterinya “papa beritahu kepada rakyat yang susah, kalau nak keluarkan KWSP pergi dapat pinjaman bank terlebih dahulu… mangkuk hayun punya menteri kewangan.
“Rakyat susah… nak bayar pinjaman rumah tak dapat. Nak bayar pinjaman kereta tak dapat. Nak minta keluarkan wang sendiri. Simpanan sendiri bukan wang bapa kamu… tak boleh… pergi pinjam bank.
“Ini menteri kewangan apa? Apakah dia benar-benar memahami denyutan nadi rakyat yang susah atau dia membela pemilik bank yang pastinya akan mengenakan kadar faedah di atas pinjaman bank tersebut,” kata Azmin.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam ini (11 Mac 2023).
Pada Khamis (9 Mac) lalu, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Sementara itu, Azmin turut menyentuh isu telur ayam yang katanya memberi gambaran bahawa hanya dengan masalah itu sahaja telah menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menjadi ‘kerajaan gagal’.
“Rakyat tanya mana telur ayam. Nak selesaikan telur ayam lari ke India. Rakyat Malaysia terpaksa makan telur India. Sebelum ni dia kata kita nak buat tender terbuka… tidak ada direct nego (rundingan terus).
“Pimpinan ahli Parlimen (PN) telah cabar dalam Parlimen. Siapa yang dapat kontrak bawa telur India ke Malaysia. Tuan-tuan tahu siapa… Siapa? Kawan Rosmah.
“Dalam Parlimen tak jawab tapi kita sudah bongkarkan, Deepak duduk sebelah Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) pergi ke India.
“Saya nak tanya apa peranan Deepak… mana tender terbuka… dia saja boleh bawa telur. Orang lain tak boleh bawa telur.
“Telur kategori D… tuan-tuan harganya lebih mahal… saya dapat maklumat daripada kementerian… difahamkan mendapat bekalan kontrak telur ini pada harga 32 sen tapi kategori D.
“Kita tanya apakah ada saringan keselamatan di Jabatan Veterinar… kita tahu setiap produk makanan yang nak masuk dalam negara mesti ada lima saringan… tetapi saringan-saringan ini difahamkan dikecualikan… siapa yang nak semak tentang keselamatan telur daripada India.
“Siapa nak semak kualiti telur daripada India. Dan sekarang sudah ada perbincangan untuk tambahan dua puluh sen lagi. Maknanya telur kategori D harganya 52 sen di dalam pasaran. Ini cerita apa? Baru satu isu telur sudah gagal untuk mereka (kerajaan PH-BN) selesaikan,” katanya lagi.