
Datuk Seri Idris Haron.
Selepas menjadi salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hari ini Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) mengeluarkan kenyataan membayangkan jika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan di negeri itu.
Menurut Berita Harian, Idris juga tidak bersetuju sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Kenyataan Idris sekali gus bercanggah dengan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan memberi semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
“Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.
“Selain itu, PRU-15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit Covid-19 naik mendadak.
“Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini,” kata Idris.
Bagaimanapun, Idris turut menegaskan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sama ada mahu membubarkan DUN atau memilih ketua menteri yang baharu dalam kalangan pemimpin PH.
Dalam laporan sama, Idris juga enggan mengulas mengenai parti mana yang akan disertai beliau bersama tiga lagi ADUN yang terbabit dalam langkah menarik sokongan semalam.
Semalam, selain Idris, yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah ADUN Pantai Kundor dari BN, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Berikutan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan akan mencadangkan kepada Mohd Ali supaya membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.
Ab Rauf berkata, UMNO Melaka sedia menghadapi PRN dan BN komited mempertahankan kerajaan negeri.
Sebelum penarikan sokongan keempat-empat ADUN terbabit, UMNO memiliki 14 kerusi manakala BERSATU (2) dan Bebas (1). PH mempunyai 11 kerusi.
Dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, UMNO sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala BERSATU (1).
Jika keempat-empat ADUN terbabit sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi UMNO dan BERSATU.