Idris persoal pemimpin UMNO tak ikut keputusan parti tidak dipecat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mempersoalkan tindakan UMNO yang memecat keahliannya kerana menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam wawancara bersama Astro Awani, Idris berkata nasibnya tidak begitu baik jika dibandingkan dengan beberapa pimpinan parti sebelum ini yang bertindak tidak menyokong keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan Idris itu difahamkan merujuk kepada ‘pertembungan’ antara kem Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Ismail Sabri pada Julai lalu sehingga menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tersingkir dari jawatan perdana menteri.

“Nasib saya ini tidaklah sebaik Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa orang yang tidak menyokong keputusan Perhimpunan Agung (UMNO) dan tidak menyokong urusan Majlis Tertinggi. Tapi (mereka) tidak dikena tindakan, dipecat dari parti atau pun diambil sebarang tindakan.

“Saya tak pasti undang-undang mana yang dikenakan kepada saya, peraturan mana yang dikenakan kepada saya. Tapi saya pasti, kalau saya dipanggil oleh badan disiplin saya sedia memberikan penjelasan mengapa saya melakukan demikian.

“Saya berbuat demikian kerana saya nak menyelamatkan parti ini daripada ditolak oleh rakyat dalam PRU akan datang,” kata Idris.

Pada Julai lalu, UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dengan serta-merta dengan alasan kononnya terdapat beberapa kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan pada ketika itu.

Ekoran tindakan itu, Ismail pula mengumpulkan beberapa pimpinan tertinggi UMNO dan melakukan beberapa siri pertemuan bagi memastikan PN terus kekal berkuasa sebagai kerajaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR