Hubungan “intim” politik Najib, Zahid dengan Anwar

Senario politik negara yang sentiasa panas dan tidak berpenghujung dihadapi negara ketika ini berpunca daripada hubungan “intim” politik yang terjalin antara bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di depan mata umum, ketiga-tiga mereka tidak pernah berhenti mengkritik pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah masakan kenyataan mereka ini sentiasa senada kebelakangan ini.

Jadi, tidak terkejut lah sekiranya kenyataan media dikeluarkan mereka juga hampir sama dalam menyerang pimpinan kerajaan Perikatan Nasional.

Anwar sememangnya bijak mencatur politik dan berjaya menyakinkan pimpinan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menyokongnya sebagai calon perdana menteri tetapi pada masa sama memeterai perjanjian sulit bersama Najib dan Zahid.

Ia bukan lagi rahsia apabila Anwar bersama Najib dan Zahid sebenarnya sudah sepakat untuk bergabung cuma ia mendapat tentangan di kalangan pimpinan Umno.

Sebenarnya, ketiga-tiga mereka ini sudah bekerjasama sejak pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu bertujuan untuk tidak menyokong belanjawan kerajaan Perikatan Nasional namun langkah mereka tersebut gagal.

Seorang Ahli Parlimen dari Sabah yang juga merupakan pimpinan tertinggi parti Warisan ada memberitahu kepada wartawan Agenda Daily bagaimana pada malam sebelum belanjawan dibentang Najib memanggilnya ke sebuah hotel untuk membincangkan pendirian parti tersebut sama ada mereka menyokong atau menolak belanjawan tersebut.

Ketika perjumpaan sulit tersebut berlangsung, Ahli Parlimen itu memberitahu bagaimana Najib mengambil telefonnya dan menghubungi Anwar untuk memaklumkan bahawa Parti Warisan mengambil pendirian untuk menolak belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan.

Situasi Najib menelefon Anwar ketika perjumpaan itu di hadapan Ahli Parlimen Warisan itu memberi isyarat jelas bahawa mereka bertiga sudah mempunyai persefahaman bersama cuma ia tidak didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen tersebut segera menghubungi Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memaklumkan langkah yang sedang direncana oleh ketiga-tiga mereka itu.

Keadaan yang berlaku tersebut agak memeranjatkan dan Shafie tidak menyangka sama sekali ketiga-tiga mereka bersekongkol, sudah semestinya pemimpin utama Warisan itu tidak mahu rancangan tersebut berjaya.

Sebaliknya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa orang Ahli Parlimen Amanah lain yang bangun untuk menolak belanjawan yang dibentang. Usaha tersebut bagaimanapun gagal kerana tidak mempunyai majoriti cukup untuk meminta supaya undian belah bahagi dijalankan.

Lebih mengejutkan, Shafie walaupun dianggap setia kepada Dr Mahathir juga tidak bangun daripada kerusinya dalam Parlimen untuk bersama bekas bosnya itu untuk menolak belanjawan dibentang Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ia satu kesipuan dan tamparan kepada Dr Mahathir sebenarnya, langkah Najib, Zahid dan Anwar tersebut berjaya memalukan bekas perdana menteri itu.

Daripada senario tersebut, difahamkan ketiga-tiga mereka mempunyai matlamat lebih jauh iaitu mahu mengumpul sokongan di kalangan pemimpin Umno dan sebelah pembangkang bagi menjayakan langkah jahat untuk menjatuhkan Muhyiddin dalam sidang parlimen yang sepatutnya berlangsung pada Mac ini.

Namun, pengisytiharan “darurat” oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi tembok penghalang kepada niat jahat ketiga-tiga mereka ini.

Najib dan Zahid sebenarnya semakin terdesak apabila sebutan kes-kes mahkamah dihadapi mereka semakin dekat dan tidak mempunyai jalan lain untuk lari daripada hukuman melainkan berpaut kepada Anwar.

Anwar adalah talian hayat politik kepada Najib dan Zahid, hubungan “intim” politik mereka ketika ini sedang berbunga. Malangnya, DAP dan Amanah sekadar menjadi boneka kepada drama politik yang sedang direncana oleh tiga petualang ini.

Kalau dahulu Anwar cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang bersih dan menentang rasuah, kali ini Anwar sebenarnya adalah rakan “intim” kepada dua tokoh yang berdepan puluhan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Tahniah Anwar kerana demi tamak kuasa yang busuk boleh jadi wangi, akhirnya rakyat yang diheret dalam permainan politik rakus mereka bertiga ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR