
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Kuala Lumpur, esok dan lusa, bukan sahaja akan membincangkan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu, sebaliknya parti itu juga akan menyatakan pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS.
Ketika mengesahkan usul utama PAU esok adalah memutuskan kerjasama dengan Bersatu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut diberi tumpuan adalah pendirian UMNO terhadap MN.
Ini kerana, katanya, PAS adalah sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan terbaharu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Kerjasama di dalam MN adalah usul kedua tertinggi yang akan dibincangkan dalam PAU, berbanding usul-usul lain seperti pendidikan, ekonomi dan agama.
“Daripada 1 hingga 3 Jan tahun ini kita telah mengadakan 760 mesyuarat perwakilan meliputi Pemuda, Wanita, Puteri dan Bahagian, kecuali Bahagian Tanah Merah, Kelantan yang digantung dan kesemuanya dilaksanakan di 190 bahagian.
“Usul utama daripada 190 bahagian itu ialah 124 bahagian menyebut supaya tiada kerjasama dengan Bersatu…ini usul utama,” katanya .
Ahmad turut mengulangi pendirian bahawa UMNO tidak pernah menyertai kerajaan PN, sebaliknya parti itu dan BN hanya menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“UMNO tak pernah sertai PN. Hanya serah kepada Ahli Parlimen UMNO dan BN untuk menyokong kerajaan. Ini kerana kami telah mempunyai BN.
“Untuk menjadi satu lagi komponen parti (di dalam PN), ia tidak sesuai kerana BN telah wujud sejak sekian lama dan kami menetapkan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal di dalam BN,” katanya.
Mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilapor sebagai berkata, keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO hanya boleh diubah menerusi Perhimpunan Agung UMNO, Ahmad berkata:
“Setakat ini saya tak pernah dengar lagi perwakilan menyatakan tidak setuju (dengan usul yang dibawa). Itu tradisi UMNO. Selepas perwakilan kata setuju, maka luluslah usul-usul yang disebut itu.”
Perhimpunan Agung UMNO diadakan secara hibrid, yang menggabungkan kehadiran fizikal ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara, kecuali Sarawak.
Ia akan dimulakan dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada Sabtu, dan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka, serta ucapan dasar Presiden pada keesokannya.