Hishamuddin bersih punyai kredibiliti untuk diangkat calon PM

Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Foto Kredit Hishammuddin Hussein

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disifatkan seorang yang memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO.

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, selain itu ahli Parlimen Sembrong itu juga mempunyai imej yang bersih serta tidak terpalit dengan isu rasuah berbanding dengan pemimpin UMNO yang lain.

“Hishammuddin ketika ini pun kita nampak sangat berketerampilan sekali, memang betul dia berkebolehan, beliau juga fasih berbahasa Inggeris.

“Beliau juga tiada isu dan boleh dikatakan bersih, lagi satu kalau hendak jadi pemimpin negara ini kena bijaklah, sekarang posisi beliau di Kementerian Luar Negeri membawa beliau selepas ini kalau jadi Perdana Menteri mahir isu luar negeri, beliau pun kita lihat boleh buat kerja ,” katanya kepada Agenda Daily.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menggesa supaya pemilihan UMNO dijalankan juga tahun ini untuk meletakkan Hishammuddin calon Perdana Menteri mewakili UMNO dalam pilihan raya umum nanti.

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata Hishammuddin perlu bertanding untuk merebut jawatan Presiden dan yakin beliau akan mendapat sokongan akar umbi memandangkan pengalaman luas dan kelayakannya sepanjang berada dalam pentas politik mahu pun kerajaan.

Mengulas lanjut Salawati berkata, selain itu, Hishamuddin juga dilihat seorang yang berjiwa rakyat dan suka merendah diri.

“Beliau wakil rakyat Sembrong pun melihat rakyatnya, isu-isu banjir diambil cakna olehnya, isu kemanusiaan juga dekat dihatinya tengok isu Palestin beliau banyak main peranan.

“Kalau hendak jadi PM kredibiliti dalam dan luar negara perlu ada dan beliau punyai itu,” katanya lagi.

Tambahnya, pengalaman luas Hishammuddin sebagai pemimpin UMNO yang bermula daripada bawah dan pernah menjawat pelbagai jawatan menteri penting juga memberi kelebihan kepadanya.

“Beliau naik sikit-sikit, naik satu anak tangga, pernah menjadi menteri-menteri penting seperti menteri pelajaran, pertahanan, belia dan sukan, dan lain-lain lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Salawati juga berkeyakinan Hishammuddin akan membawa sinar baharu kepada Malaysia sekiranya diangkat sebagai PM.

“Saya percaya beliau akan mengubah landskap negara kita, pentadbiran negara dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan UMNO dijangka mengadakan pemilihan pada hujung tahun ini dan bukannya Jun. Bagaimanapun, penularan Covid-19 mungkin dijadikan alasan untuk menangguhkan pemilihan parti walaupun wujud desakan daripada pemimpin UMNO supaya ia disegerakan.

UMNO sebelum ini dikenali sebagai sebuah parti dominan dan secara tradisinya presiden UMNO akan menjadi perdana menteri.

Namun sehingga hari ini UMNO masih belum mencadangkan nama calon perdana menteri daripada parti itu.

Jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Ahmad Zahid ketika ini menjadi rebutan beberapa pimpinan lain, antara yang disebut-sebut menyertai perlumbaan untuk merebut jawatan Presiden adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, pembaharuan dalam barisan kepimpinan masih tidak boleh dibuat sekiranya Zahid masih ingin mengekalkan kuasa sehingga pemilihan diadakan nanti.

POPULAR