
Portal Sinar Harian diberi amaran berhubung sebuah artikel yang didakwa menfitnah Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu menafikan dakwaan artikel portal tersebut yang mengatakan kononnya ditawarkan jawatan Perdana Menteri (PM) Ke-10 oleh Perikatan Nasional (PN).
Spekulasi itu tersebar selepas sebuah portal berita melaporkan kononnya PN menyokong Hishammuddin dilantik sebagai PM Ke-10 sekiranya kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.
Dalam hantaran di Facebook, Hishammuddin menegaskan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.
Malah, Ahli Parlimen Sembrong itu turut menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang rundingan sama ada dengan PN mahu pun Pakatan Harapan (PH).
Hishammuddin berkata, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media tersebut jika tidak menarik balik artikel berkenaan.
“Ramai menyebarkan artikel ini – saya ingin mengesahkan bahawa dakwaan ini tidak benar sama sekali.
“Saya tidak sesekali terlibat dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN mahu pun PH.
“Saya juga tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan PN didakwa menawarkan BN jawatan PM Ke-10 sekiranya kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.