Hina PM bela nasib Palestin, pemimpin UMNO digesa ajar DAP jaga adab

UMNO perlu menegur bakal rakan kongsi mereka, DAP cara menjaga adab dengan masyarakat Islam dan Melayu.

Pemimpin UMNO digesa mengajar bakal rakan seperjuangan mereka, DAP supaya menjaga adab selepas tindakan wakil rakyat Selangor, Datuk Teng Chang Khim melabel Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘bodoh’ hanya kerana membela nasib rakyat Palestin.

Tindakan ADUN DAP Bandar Baru Klang tersebut disifatkan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang sedang bersimpati dengan penindasan dilakukan oleh Israel ketika ini, malah sanggup mengecam Muhyiddin kerana bersuara lantang mempertahankan hak rakyat Palestin yang ditindas.

Artikel berkaitan: Pemimpin DAP bidas PM ‘bodoh’ hanya kerana pertahan isu Palestin

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak beradab yang sengaja cuba mengguris hati umat Islam pada ketika orang ramai sedang bersimpati dengan keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tidak beradab dan kurang ajar kenyataan Chang Kim, mujur sempat disimpan tangkap layar… jika tidak kita tidak tahu sikap sebenar pemimpin DAP ini… itu pun masih ada pemimpin UMNO mahu jalin kerjasama dengan mereka,” katanya kepada Agenda Daily.

Ketua Penerangan Bersatu selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar.

Mohd Hamidi menggesa supaya pemimpin UMNO agar mengajar bakal rakan seperjuangan mereka itu berhubung adab resam umat Islam dan budaya orang Melayu selepas ini supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak.

“Elok lah UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajar pemimpin DAP berhubung adab dan budaya orang Melayu… kalau nak berkawan sekali pun, kena lah saling hormat-menghormati dan bukan dengan membuat penghinaan sedemikian.

“Presiden UMNO sudah berkata mereka mahu bentuk Perikatan 3.0 bersama PKR serta DAP, mereka menolak Perikatan Nasional (PN) bila masa Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, jadi elok lah pemimpin UMNO yang mahu memeluk cium pemimpin DAP ini memberi tunjuk ajar supaya menjaga adab dan belajar hormat agama lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Hamidi berharap orang Melayu tidak terjerat dalam permainan politik UMNO yang mahu bekerjasama dengan DAP kerana kelak ia akan menghancurkan masa depan orang Melayu.

“Kalau isu Palestin pun mereka boleh hina Perdana Menteri, ini kan nak hormat agama Islam dan orang Melayu… itu pun UMNO masih nak ikut DAP ini, saya pun tidak faham.

“Tahniah UMNO kerana mahu memilih DAP daripada memilih Bersatu yang seagama dan sebangsa… jangan jadi bangsat sudah lah nanti,” kata Hamidi lagi.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata kenyataan biadab Chang Kim membuktikan DAP tidak memahami sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia dan cuba menyembunyikan kebenaran apabila memadam statusnya di laman Facebook.

Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Makian perkataan ‘Bodoh!’ oleh ADUN Bandar Baru Klang dari DAP, Teng Chang Khim di laman Facebook nya sebagai respon terhadap perutusan PM mengenai konflik Palestin semalam mencerminkan sikap tidak kisah langsung akan sensitiviti majoriti warga Malaysia terutama umat Islam.

“Kebangsatan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor itu cuba diselindung apabila kecamannya terhadap PM tersebut telah dipadam selepas dikritik warga maya,” katanya.

Muhammad Faiz mempersoalkan tindakan Chang Kim tersebut yang dianggap seolah menyokong rejim Israel yang sedang menindas umat Islam di Palestin dan walaupun negara sedang berdepan penularan Covid-19 ia bukan alasan untuk Malaysia sekadar berdiam diri melihat rakan seagama ditindas.

“Saya ingin bertanya kepadanya adakah beliau menyokong Zionis? Adakah krisis ekonomi dan penularan wabak Covid-19 di negara kita menghalang untuk sesiapa saja mengulas bab Palestin secara terbuka?

“Adakah itu polisi DAP dan agenda pihak Pakatan Harapan jika naik berkuasa di negara ini nanti?” soal beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap Chang Kim yang disifatkan satu penghinaan kepada umat Islam kerana membuat panggilan dengan gelaran sedemikian.

“DAP wajar mengambil tindakan tatatertib terhadap pemimpinnya itu jika apa yang diluahkan itu bukan merupakan ideologi parti tersebut.

“Malah kerajaan negeri Selangor juga wajar memecat mana-mana EXCO negeri yang tebal sifat antinya terhadap elemen-elemen yang menjadi sensitiviti majoriti rakyat negara ini terutama Melayu Muslim seperti isu Palestin itu,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook, Chang Kim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang itu mendakwa Muhyiddin Perdana Menteri hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.

“Jangan mengalih perhatian rakyat daripada fokus. Jaga nyawa rakyat Malaysia yang terancam kerana Covid-19 dahulu. Bodoh!” tulisnya semalam.

Utusan Malaysia juga melaporkan kenyataan sama Chang Kim tersebut yang membidas Muhyiddin.

Bagaimanapun, semakan menerusi Facebook beliau pada hari ini mendapati hantaran tersebut telah dipadam.

POPULAR
Ahli UMNO nafi tapi MP PKR yakin Jajaran Harapan bakal terbentukJune 13, 2021
Kabinet PN paling tenang, bersemangat terus bekerja: Annuar MusaJune 13, 2021
DAP mesti bekerjasama dengan UMNO untuk menang PRU15 nantiJune 13, 2021
UMNO tetap kena terima ‘Jeneral Anwar’June 10, 2021
Jajaran Harapan UMNO, PH semakin kuat bunyinya? Kata PAS JohorJune 12, 2021
Jika diburukkan UMNO tuding Bersatu, kenapa musuh lain tidak?June 13, 2021