
Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membayangkan akan bertanding semula di Parlimen Kota Belud pada PRU-15, namun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan mengenai kriteria calon yang dikehendaki.
Tidak mudah buat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk kembali menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Kota Belut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ini kerana beliau perlu memenuhi beberap kriteria untuk ditampilkan sebagai calon UMNO dan BN, walaupun Abdul Rahman – yang berasal dari Tuaran – pernah menang dua penggal di Parlimen Kota Belut iaitu pada PRU 2008 dan PRU 2013.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata BN hanya memilih calon yang boleh menang, diterima dan disukai rakyat untuk bertanding PRU-15 nanti.
Ini termasuk di kerusi Parlimen Kota Belud yang jatuh ke tangan calon WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis yang mengalahkan Datuk Seri Salleh Said Keruak, katanya
Abdul Rahman tidak mempertahankan kerusi Kota Belud pada PRU-14 sebaliknya dipindahkan bertanding di Parlimen Sepanggar, namun kalah kepada Datuk Mohd Azis Jamman daripada WARISAN.
Semalam, Abdul Rahman memberi bayangan akan kembali bertanding semula di kerusi Parlimen Kota Belud PRU-15, sambil menyatakan namanya ada dalam senarai calon UMNO dan BN.
Mengulas lanjut, Bung Moktar bagaimanapun enggan mendedahkan bakal calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud, namun berkata jentera BN akan memastikan kejayaan calonnya tanpa mengira siapa.
“Kota Belud ini kubu kuat BN dan kita akan kembalikan kedudukan itu, BN akan tanding di Kota Belud. Calon kita akan pilih yang boleh menang dan boleh diterima serta disukai rakyat Kota Belud.
“Apa yang penting, jentera BN harus siap sedia, cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri perlu turun kerja untuk pastikan kemenangan calon BN,” katanya Timbalan Ketua Menteri Sabah itu seperti dilapor BH.
Bung Moktar berkata, pemimpin dan ahli BN perlu bersatu hati pada PRU-15 bagi memastikan kemenangan calon dan mengingatkan supaya tiada lagi pecah-belah, sabotaj atau cantas-mencantas yang berlaku sebelum ini apabila tidak dicalonkan.
“Belajarlah daripada kesilapan lalu. BN sudah pernah kalah pada 2018, antara puncanya ialah sabotaj, potong-memotong sebab tidak setuju dengan calon yang dipilih parti.
“Kalau ini berlaku lagi, jangan harap Kota Belud ada pembangunan. Kita tengok WARISAN, selama ia memerintah sebelum ini, apa yang dia buat di sini?
“Justeru, percayalah, jangan lagi kita berbalah, kita kena ada solidariti dalam kepemimpinan. Siapa yang terpilih menjadi calon, maka kita sokonglah beramai-ramai,” katanya.