Hasni hanya saksikan angkat sumpah MB Johor?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Hasni Mohammad dititah hadir ke Istana Johor bagi menyaksikan majlis angkat sumpah Menteri Besar (MB) ke-19 pada jam 3 petang ini.

BH yang memetik sumber Barisan Nasional (BN) berkata Hasni yang juga Pengerusi BN Negeri dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan.

“Hasni ketika ini masih di kediaman rasmi sebelum bertolak ke Istana Bukit Serene. Sultan Ibrahim menitahkan supaya Hasni hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 jam 3 petang ini,” lapor BH.

Ini bermakna Hasni yang juga bekas MB Johor ke-18 tidak terpilih mengekalkan jawatannya, walaupun Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan mengemukakan akuan berkanun (SD) 38 daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Sultan Johor, menyokong pencalonannya sebagai MB.

Sokongan kuat untuk Hasni dalam bentuk SD itu diserahkan kepada Sultan Johor dengan harapan calon MB daripada BN itu akan dilantik semula ke jawatan berkenaan sebagaimana dijanjikan kepada pengundi Johor pada PRN 12 Mac lalu.

“Zahid menyerahkan kepada Sultan Johor SD 38 daripada 40 ADUN Umno-BN sebagai tanda sokongan untuk Hasni dilantik menjadi MB. Hanya satu ADUN tidak membuat SD menyokong Hasni.

“Hasni adalah calon tunggal BN. Akar umbi parti agak terkilan beliau belum dilantik lagi walaupun sudah tiga hari PRN berlalu. Kami janjikan kepada pengundi Hasni akan menjadi MB, jadi rakyat Johor mahu janji itu ditunaikan,” kata sumber seperti dilaporkan FMT.

Sementara itu, memetik Bernama, penganalisis politik Mujibu Abd Muis, isu pelantikan Menteri Besar Johor ini sangat mengejutkan kerana tiada siapa menjangka perkara itu akan berlaku memandangkan keputusan melantik Hasni menjadi Menteri Besar sudah diputuskan BN-UMNO sejak sebelum PRN.

“Malah faktor itu, dengan menjadikan Hasni ‘poster boy’ BN menjadi sebahagian penawaran politik kestabilan yang dijaja BN kepada pengundi.

“Perwatakan dan karakter Hasni disenangi pengundi dan di permulaan isu ini dianggap selesai, hanya tunggu BN boleh menang PRN atau tidak sahaja,” kata.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan itu berkata isu membabitkan perlantikan Menteri Besar ini mungkin akan memberi kesan kepada UMNO dan memaksa parti itu memberikan penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“BN bukan sahaja kena urus impak tersebut dalam konteks politik UMNO Johor tetapi juga UMNO yang dalam fasa kritikal kerana Perhimpunan Agung UMNO, dalam masa yang sama mesti menerangkan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku,” kata beliau.

Sebelum ini desas-desus tersebar luas di Johor bahawa Hasni yang juga ADUN Machap tidak terpilih menjadi MB Johor, sebaliknya akan diganti dengan calon lain.

Nama yang disebut-sebut ialah ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, dan ADUN Rengit, Datuk Puad Zarkashi.

BERITA BERKAIT
POPULAR