Hasni dakwa UMNO tukar calon kerana wanita, pengundi muda

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohamad mendakwa pertukaran calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac depan dilakukan atas semangat Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata pertukaran saat akhir calon BN di beberapa kerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan setelah BN mengambil kira beberapa perkara.

Ini termasuk representasi wanita, orang muda serta kelulusan akademik yang merupakan antara komponen penting dalam membuat keputusan pemilihan calon, katanya seperti dilapor Bernama. Berita berkaitan

“Pertukaran saat akhir adalah di atas semangat BN. Parti-parti seperti MCA juga mengubah senarai calon mereka, MIC juga berbuat yang sama.

“Tentunya UMNO perlu membuat penyesuaian apabila kita telah memuktamadkan pengagihan kerusi-kerusi antara parti-parti dalam BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Senai, hari ini.

BN sebelum ini melakukan pertukaran calon pada saat-saat akhir melibatkan kerusi DUN Sungai Balang dan DUN Tanjung Surat.

Sebelum ini BN mengumumkan Mohd Helmi Abdul Latif sebagai calon bagi DUN Sungai Balang sebelum menukarnya kepada Selamat Takim, manakala bagi DUN Tanjung Surat, Aznan Tamim diumumkan sebagai calon menggantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman.

Aznan merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.

BN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan 37 daripada calon itu adalah dari UMNO, MCA (15) dan MIC (empat).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor adalah 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.

BERITA BERKAIT
POPULAR