Hari penentu Najib juga bakal menentukan masa depan Ismail Sabri

Hari ini Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib sebelum ini dijatuhkan hukuman 72 tahun penjara, 10 tahun bagi enam pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram, dan 12 tahun kerana kesalahan salah guna kuasa.

Bekas Perdana Menteri (PM) itu turut didenda RM210 juta, iaitu lima kali ganda daripada jumlah yang diseleweng.

Hukuman dihadapi Najib merupakan satu sejarah negara yang tidak pernah berlaku dalam melibatkan pemimpin kanan kerajaan dan Najib adalah insan pertama berdepan pertuduhan ini sejak negara Merdeka pada 1957.

Belum pernah PM terdahulu diheret ke mahkamah dengan pertuduhan sebanyak itu dan belum pernah juga ada yang disumbat ke dalam penjara kerana perbuatan jenayah sama seperti dihadapi Najib.

Bagaimanapun, keputusan hari ini bukan pengakhiran kerana terdapat beberapa proses lain yang perlu dijalani, tidak ditolak pasukan peguam bela Najib sudah bersiap-sedia untuk membuat permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Najib tidak akan ke penjara secara automatik jika keputusan tidak memihak kepadanya, namun masih memegang status banduan yang masih bebas dan hanya belum menjalani hukuman.

Perkara sama sebelum ini dilalui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum meringkuk dalam tirai besi apabila membuat permohonan rayuan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Mungkin Najib akan mengikuti jejak langkah sama seperti Anwar bagi mengelakkan terpaksa menjalani hukuman penjara dan sekurang-kurangnya masih mempunyai masa mencari jalan penyelesaian untuk melepaskan dirinya daripada hukuman.

Bagaimana jika Najib dibebaskan pula? Pelbagai spekulasi dan khabar angin mengatakan Najib meminta bantuan PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kes perbicaraan rayuan dihadapinya hari ini tetapi tidak diketahui sejauh mana kebenaran itu.

Ismail Sabri mengambil risiko dan jalan berliku sekiranya terlibat secara langsung membantu Najib dalam perbicaraan kes SRC ini, beberapa kenyataan pemimpin pembangkang termasuk kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-50 baru-baru ini secara tidak langsung memberi isyarat tidak baik kepada Ismail Sabri.

Terdapat juga risiko Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimerterai antara Ismail Sabri dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) akan berakhir sekiranya kes Najib ini terlepas begitu sahaja.

Malah, isu hadiah tanah RM100 juta kepada Najib yang menjadi polemik juga masih belum reda, ia belum lagi kemarahan blok pembangkang bersabit kelulusan pemulangan pasport kepada Najib untuk melawat anaknya di Singapura.

Masa depan Ismail Sabri sebagai PM sebenarnya bergantung kepada MoU tersebut, berkecai MoU maka tidak lamalah jawatan dipegangnya juga akan hilang begitu sahaja.

Dalam kes Najib, ia bukan sahaja melibatkan masa depan politik anak Tun Abdul Razak tetapi juga melibatkan masa depan Ismail Sabri.

Ismail Sabri boleh memilih sama ada menjadi PM terpendek dalam sejarah atau kekal berprinsip tidak menggadaikan masa depannya demi seorang penjenayah yang sudah dijatuhi hukuman.

Sekiranya Ismail Sabri disingkir menjadi PM kali ini, peluangnya untuk naik sekali lagi sebagai PM adalah sesuatu yang mustahil kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengidam jawatan yang sama itu.

Tambah-tambah lagi selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, adakah Ismail Sabri terlupa insiden ‘diboo’ dalam dewan tempoh hari?

Pilihan di tangan Ismail Sabri.

Untuk rekod, malam tadi berlangsung majlis ramah mesra Ahli-ahli Parlimen kerajaan di sebuah hotel, turut dihadiri Ismail Sabri bersama-sama dengan pemimpin PAS dan juga Bersatu.

Ismail Sabri boleh menilai sendiri sejauh mana sokongan dimilikinya, tidak semua yang hadir termasuk beberapa pemimpin utama parti lain. Adakah Ismail Sabri masih tidak bijak menilai situasi?

Kes SRC memberikan tumpuan terhadap sejumlah RM42 juta dalam dua akaun bank peribadi Najib, wang yang merupakan sebahagian daripada RM4bilion dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC–anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana Najib adalah penasihatnya.

Najib berhujah beliau tidak mengetahui transaksi besar yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya antara 2014 dan 2016, mendakwa menjadi mangsa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Malah beliau juga turut memetik nama pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah.

Bagaimanapun, mahkamah menolak semua dakwaan Najib tersebut yang disifatkan satu rekaan yang tidak masuk akal.

Sekiranya Najib kalah dalam rayuannya di hadapan tiga panel hakim, beliau hanya memiliki satu lagi peluang di Mahkamah Persekutuan, di mana tujuh hakim akan membuat keputusan ke atas kes beliau.

Memandangkan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan sepatutnya difailkan dalam tempoh empat bulan selepas keputusan Mahkamah Rayuan, Najib memiliki tempoh hingga April 2022 untuk mengetahui sama ada beliau akan dipenjara atau kekal bebas.

Jika beliau dihukum penjara, Najib akan berusia 80 tahun ketika selesai menghabiskan hukumannya kecuali mendapat pengampunan diraja seperti apa yang berlaku kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dibebaskan dari penjara pada 2018 sebelum menyelesaikan tempoh hukuman bagi kesalahan liwat.

BERITA BERKAIT
POPULAR