
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.
PAS mengharapkan sebarang perselisihan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dapat diselesaikan dengan baik dengan menegaskan tidak pernah memutuskan hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu.
Pendirian itu dinyatakan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan parti Islam tersebut masih kekalkan menjalinkan hubungan, malah menghormati piagam yang dimerterai sebelum ini dalam MN.
“Kita tidak pernah putus dengan UMNO dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai di dalam piagam MN. Pas tidak sedia untuk putus dengan UMNO dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan.
“Sebaik-baiknya kembalilah kepada penyatuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini dan janganlah berpecah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Kenyataan Hashim itu dilihat senada dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata sebelum ini penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh PAS dan UMNO disifatkan formula terbaik.
Kenyataan PAS itu hadir selepas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi sekali lagi pendirian menegaskan kerjasama UMNO dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Zahid mendakwa UMNO sudah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk mempersetujui perkara terkandung dalam piagam MN namun tidak disepakati. –
Untuk rekod, UMNO dan PAS tidak menjalinkan kerjasama semasa menghadapi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini di Melaka dan Johor, sebaliknya bertembung antara satu sama lain.
Namun, pertembungan banyak penjuru di PRN lalu memberi kelebihan kepada UMNO sehingga memenangi dengan majoriti yang besar, ia faktor mereka merasakan tidak perlu lagi kerjasama dengan PAS kerana sudah memperoleh kekuatan yang maksimum.