
Gambar 1 menunjukkan jalan di bandar Pasir Puteh, Kelantan, menjadi seperti sungai, manakala gambar 2 pula keadaan sebuah rumah yang dihanyutkan banjir di Jerteh, Terengganu, hari ini 19 Disember 2022.
Pahang – sebuah negeri di bawah naungan kerajaan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) – menerima peruntukan sebanyak RM27 juga bagi membaik pulih infrastruktur awam yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar kerajaan UMNO-DAP Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan tersebut adalah bagi kerja-kerja pembaikan jangka masa pendek, sekali gus meminimumkan risiko banjir.
Namun, berbeza dengan negeri-negeri yang ditadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN), terutama di Kelantan, yang tidak menerima bantuan terus daripada kerajaan PH-BN.
12 Januari lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mendedahkan Kerajaan PAS tidak menerima pun bantuan banjir RM50 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Kerajaan PH-BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, kata beliau bantuan itu disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.
Tindakan itu, sekali gus mengesahkan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan pentadbiran negeri pimpinan parti itu mengalami kesukaran apabila dihalang dengan pelbagai cara dan penentangan, sama ada secara nyata mahupun tersembunyi oleh Pusat.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS mentadbir dengan kuasa yang sangat terbatas dan tindakan Kerajaan Persekutuan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka.
Sementara itu, mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata peruntukan itu hanya khas untuk pembaikan infrastruktur awam dan bergantung kepada laporan pihak berkuasa tempatan bagi daerah-daerah terjejas banjir.
“Insya-Allah kita akan gunakan sebaik mungkin dengan peruntukan RM27 juta ini untuk membaiki perkara perkara yang mungkin boleh membantu untuk meminimumkan masalah banjir,” katanya menurut Astro.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan Pelindung, Kuantan pada Khamis.
Dalam majlis berkenaan, Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada 206 ketua isi rumah yang terlibat dalam kejadian banjir.
Bantuan Wang Ihsan ini melibatkan 802 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir, yang berpindah ke pusat pemindahan sementara yang akan diserahkan selewat-lewatnya pada 16 Februari depan.
Tujuh daerah di Pahang yang terlibat dengan kejadian banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut baru-baru ini ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.
Bantuan tersebut merupakan peruntukan awal RM1 juta yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.