
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Calon Perdana Menteri bagi gabungan blok pembangkang masih Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan usaha pihak tertentu termasuk UMNO yang mahu mencadangkan nama lain tidak akan diterima, kata sayap pemudanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sebarang usaha untuk mencalonkan nama lain adalah tindakan yang cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan dan ia mesti dijauhkan dalam gabungan blok pembangkang itu.
Dalam ucapan dasar persidangan tahunan AMK Kongres Nasional Tahunan PKR 2020, Akmal berkata turut menggesa supaya golongan anak muda AMK yang berpotensi diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.
“Ini perlu diambil serius oleh kepimpinan parti terutama sekali untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang dikhianat dan menawan kerusi yang belum dimenangi. Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali.
“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya dipetik Bernama.
Akmal turut mencadangkan agar bendera PKR menjadi logo mewakili PH dalam menghadapi PRU yang akan datang sebagai usaha menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Beliau turut menyentuh soal pengurusan impak COVID-19 yang antara lain mencadangkan agar kemudahan moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan, mengembalikan subsidi upah dan kemudahan pinjaman modal serta bantuan 30 sehingga 50 peratus daripada jumlah sewaan tapak perniagaan.
“Menteri juga sepatutnya mempertimbangkan cadangan AMK agar pasukan petugas rentas parti yang turut melibatkan Ahli Parlimen PH yang sehingga hari ini masih belum terjadi,” katanya.
Persidangan AMK hari ini dijadual melibatkan 14 pembahas yang dijangka menyentuh isu kerjasama parti-parti pembangkang, pandemik wabak COVID-19, program vaksinasi kebangsaan, masalah ekonomi anak muda serta pendidikan dalam fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).