Hanya 4 Ahli Parlimen belum terima vaksin, lebih 95 peratus lengkap dos

Hanya empat Ahli Parlimen (MP) yang masih belum menerima suntikan vaksinasi sementara lebih 95 peratus MP sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Daripada jumlah tersebut, baki 35 peratus sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin, ia bagaimanapun empat MP tersebut tetap dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat tetapi perlu berhati-hati dengan risiko jangkitan.

“Semua ahli Parlimen dibenarkan datang ke Dewan walaupun tidak divaksin tetapi kami menasihatkan mereka yang tidak divaksin ini berhati-hati, kerana kita tidak boleh menahan mereka daripada menunaikan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya lapor Bernama.

Azhar mengadakan sesi sidang akhbar secara maya bagi memperincikan persiapan Sidang Khas Parlimen yang akan bermula Isnin ini.

Azhar berkata, sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersetuju supaya semua petugas Parlimen divaksinasi dan setakat ini 90 peratus petugas Parlimen telah lengkap dua dos suntikan.

Mengulas mengenai persiapan persidangan itu, Azhar berkata, pihak Parlimen menetapkan ‘house rule’ antaranya memastikan setiap individu yang datang ke Parlimen termasuk pekerja kontraktor, kakitangan kementerian dan pegawai pengiring menteri telah divaksin terlebih dahulu.

“Kami akan periksa di luar sebelum mereka dibenarkan masuk…kalau tidak divaksinasi, kami akan halang daripada memasuki Parlimen,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan juga, Azhar berkata, setiap individu seperti ahli Parlimen, pegawai bertugas, kakitangan Parlimen, petugas media, pekerja kontraktor, pemandu dan pengawal keselamatan peribadi perlu menjalani ujian saringan.

Seramai 1,008 orang menjalani ujian saringan dua hari lepas manakala kesemua Ahli Parlimen disaring pada Jumaat.

Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Sementara itu, Azhar dalam kenyataan memaklumkan seramai 72 pengamal media dibenarkan hadir di bangunan Parlimen dan kehadiran yang terhad adalah sebagai langkah membendung dan mengurangkan risiko penularan Covid-19 semasa sidang khas itu.

Selain itu, Parlimen turut menambah baik persidangan dengan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

BERITA BERKAIT
POPULAR