Hadi, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding

Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mempertahankan jawatan Presiden PAS dan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan Ke-67.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini, tetapi tiga bagi jawatan Naib Presiden akan terdapat empat calon menawar diri untuk bersaing bagi mengisi tiga jawatan.

“Tiga daripada mereka adalah penyandang sebelum ini, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Seorang calon baharu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

“Calon kelima, iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah, menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

“Selain itu, seramai 36 calon akan merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat,” katanya dipetik laporan BH selepas sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-67.

Takiyuddin berkata, seramai 1,546 perwakilan akan mengambil bahagian pada muktamar kali ini, dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu, manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing.

Beliau berkata, mereka yang menghadiri muktamar kali ini meliputi 197 Yang Dipertua (YDP) kawasan di seluruh negara serta perwakilan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Muktamar Tahunan PAS Ke-67 dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR