Hadi kekal Presiden PAS sehingga 2023, jawatan tak dicabar

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bagi sesi 2021-2023 selepas tiada pencabar yang akan bertanding pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang akan diadakan bulan depan.

Selain Hadi, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan.

Keputusan tersebut menyaksikan PAS memberi kepercayaan penuh kepada kedua-dua pemimpin utama itu untuk meneruskan perjuangan dan hala tuju parti sehingga 2023 nanti.

Untuk rekod, Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Menurut portal Harakah Daily, bagi sesi pemilihan kali ini, PAS menerima jumlah borang pencalonan sebanyak 159 daripada 197 kawasan dengan satu borang ditolak.

Bagi calon Naib Presiden pula, lima nama dicalonkan iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan seorang lagi penyandang jawatan sekarang, Mohd. Amar Nik Abdullah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mohd. Zuhdi Marsuki pula bakal mencabar jawatan naib presiden.

Untuk rekod, Mohd. Zuhdi juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Timbalan Presiden PAS.

Senarai 43 calon akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat antaranya, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali Attakiri dan anggota Kabinet kerajaan sekarang iaitu Datuk Amzad Hashim, Datuk Marzuk Shaari, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

Muktamar Tahunan PAS ke-67 akan diadakan pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu secara hibrid.

Kehadiran fizikal melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan sahaja.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan muktamar itu hanya akan dihadiri pada kadar jumlah yang dibenarkan sahaja.

BERITA BERKAIT
POPULAR