
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan parti itu akan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15.
Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum digesa menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung 19 November depan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa agar rakyat tidak mengabaikan dan mengambil mudah hak yang dimiliki mereka pada PRU-15, ia memandangkan pilihan raya hanya diadakan lima tahun sekali sahaja.
“Jangan sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga mengakibatkan kemenangan kepada puak yang tidak sepatutnya.
“Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelasnya, tanggungjawab mengundi juga merupakan salah satu tuntutan dalam agama Islam kerana penting untuk sesebuah masyarakat memilih sebuah kerajaan yang beramanah dan berintegriti.
“Ada pihak yang mengambil keputusan untuk tidak mahu mengundi dalam pilihan raya dengan pelbagai alasan yang dangkal seperti politik itu kotor, semua parti politik adalah sama, undi tidak mengubah apa-apa, sistem demokrasi ialah sistem kuffar dan sebagainya.
“Walhal dia sebenarnya turut terlibat sama dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dan masa depan mereka.
“Lebih buruk, tindakan mereka yang tidak turun mengundi itu membawa implikasi kemenangan kepada pihak yang sesat, salah, tidak amanah, dan tiada integriti untuk menjadi pemimpin negara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov 2022.