Hadi bidas UMNO tak tunai janji terima Bersatu dalam MN, jangan fasiq

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengkritik UMNO yang tidak menepati janji apabila enggan menerima kemasukan Bersatu dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) walaupun pada awalnya sudah menyatakan persetujuan.

Hadi berkata persetujuan awal adalah untuk menghimpunkan parti terbesar orang Melayu sebagai satu gabungan tetapi malangnya UMNO memungkiri persetujuan tersebut, malah lebih malang lagi terdapat pemimpin UMNO yang bersikap fasiq apabila membuat provokasi dengan tuduhan yang menyimpang kebenarannya.

“Persetujuan telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu UMNO, PAS dan Bersatu. Penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.

“Sedangkan Allah SWT melabelkan nama fasiq kepada seseorang Muslim yang terlibat bersama dan berperanan dalam media untuk melakukan provokasi.

“Golongan tersebut dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan yang penting dan tidak sah menjadi saksi dalam semua urusan yang penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kumpulan tersebut yang cuba membuat kacau tidaklah terlalu ramai tetapi ia masih berjaya mempengaruhi orang ramai daripada melihat perpaduan orang Melayu dan Islam berjaya.

“Golongan yang membuat kacau daun itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya.

“Mereka mendapat dukungan musuh daripada dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan makhluk perosak yang cuba membuat hasutan demi memecahkan perpaduan orang Melayu.

“Justeru, kenalilah siapakah perosak perpaduan umat dan janganlah sekali-kali terpengaruh dengannya.

“Seterusnya, singkirkan makhluk perosak perpaduan umat yang ada dalam masyarakat kita kerana perkara itu sangat penting,” ujarnya lagi.

Kritikan Hadi ini bukan kali pertama, malah sebelum ini juga membangkitkan piagam MN, dimana kedua-dua parti itu sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

“Apabila sampai ke peringkat pelaksanaan, kepemimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan PAS saja dalam MN, ini bermakna ia sudah lari daripada perjanjian.

“UMNO tak boleh mengarahkan PAS kerana kami parti tersendiri. Kalau nak suruh PAS dengan UMNO saja (dalam MN) itu tak boleh.

“Sebab kita dah berjanji dengan parti lain, bahkan tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain termasuk nak terima BERSATU masuk MN,” katanya sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini mendakwa penubuhan MN bukanlah dengan matlamat Bersatu perlu menjadi sebahagian daripadanya.

Mohamad juga mendakwa tidak wujud sebarang perjanjian untuk menerima Bersatu seperti didakwa oleh Hadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR