
Abdul Hadi berkata rakyat boleh menolak PN pada PRU-16 jika gagal mentadbir negara.
Rakyat diminta memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memimpin negara bagi tempoh satu penggal ini.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata rakyat boleh menolak gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) jika ternyatan PN gagal mentadbir negara dengan baik.
“Beri peluang kepada kami, tengok satu penggal apa yang kami buat. Kalau ada buat kesalahan, tolaklah pada PRU-16.
“Beri kita tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS, hari ini, lapor BH.
Turut hadir, tiga calon PAS mewakili PN, Nuridah Mohd Salleh (Wangsa Maju), Azhar Yahya (Batu) dan Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).
Presiden PAS itu turut melahirkan keyakinan PN mampu menawan Perlis dan Pahang pada PRU-15, Sabtu depan.
“Apabila BN bertindak mencantas orang dia seperti (Tan Sri) Annuar Musa, (Datuk Seri Dr) Shahidan Kassim dan (Tan Sri) Noh Omar dan ramai lagi, kami ambil pendekatan ambil mana-mana yang boleh seperti Shahidan jadi calon PN di Arau (Perlis) dan (Datuk Seri) Ismail Muttalib di Maran (Pahang).
“Ini bermakna kita boleh menembusi Perlis dan Pahang… insya-ALLAH kita boleh tawan Perlis dan Pahang,” katanya.
Beliau yang juga calon Parlimen Marang memberitahu kerjasama PAS-BN tidak dapat diteruskan lagi apabila parti itu tetap memaksa PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mereka (BN) masih degil dan saat akhir iaitu minggu selepas Parlimen dibubarkan, PAS diajak berbincang dengan PAS diberikan syarat sama, mesti berpisah dengan Bersatu. Mana boleh dia (BN) nak paksa sebegitu. Disebabkan itu kami buat keputusan untuk terus bersama PN dan tolak BN.
“Mereka kata tak boleh (kerjasama) dengan Bersatu kerana mereka khianat dan keluar UMNO. Saya beritahu pemimpin UMNO, kalau ikut perbezaan pendapat, PAS lebih lama berkelahi (bermusuh) dengan UMNO, lebih puluhan tahun.
“Daripada peristiwa Memali, orang PAS ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), malah ada yang dibuang kerja serta diturunkan pangkat. Kita lupakan semua ini kerana nak satukan umat,” katanya.