
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Baharu beberapa hari menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) mula menunjukkan perangai mereka sama seperti UMNO iaitu mahu menyalahgunakan kuasa yang ada.
Ini ditunjukkan sendiri oleh Ketua Setiausaha PH yang juga Menteri Dalam Negeri yang baharu dilantik, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Memetik BH, Saifuddin dilaporkan memberitahu bahawa PH akan memberi peranan sesuai dalam Kerajaan Pusat kepada calon Barisan Nasional (BN) kerana menarik diri dalam pilihan raya Parlimen Padang Serai, sekali gus memberi laluan kepada calon PH.
Habuan timbal balas yang dijanjikan kepada Datuk C Sivaraj itu sekali gus menunjukkan kerajaan PH-UMNO pimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mula hendak menyalahgunakan kuasa.
Bekas Naib Presiden MIC itu berkemungkinan besar dilantik sebagai Senator sebelum ditawarkan kerusi timbalan menteri atau diberi habuan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Lagi pula, tidak ada seorang pun wakil MIC yang ditawarkan jawatan menteri dalam Kabinet Anwar.
Ditemui selepas ceramah mega PH di Padang Serai malam tadi, Saifuddin yang kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU-15 lalu dilaporkan berkata PH bersedia mempertimbangkan peranan yang sesuai dalam Kerajaan Persekutuan kepada Sivaraj.
Menurutnya pertimbangan itu perlu berikutan Sivaraj bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.
Jumaat lalu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa calon BN memberi laluan kepada calon PH untuk PRU15 Padang Serai 7 Disember ini.
Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan calon Perikatan Nasional, Datuk Azman Nasrudin; Hamzah Abd Rahman (PEJUANG); Dr Mohamad Sofee Razak (PH) dan Sreanandha Rao (Bebas).