Guna MT tarik sokongan, Zahid didakwa cuba sabotaj langkah buka Parlimen

Langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menggunakan Majlis Tertinggi untuk mendesak Ahli-Ahli Parlimen menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj.

Seorang Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyifatkan tindakan Zahid tersebut cuba mensabotaj usaha kerajaan untuk mempercepatkan sidang Parlimen seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Jun lalu selepas wakil-wakil ketua parti menghadap di Istana Negara.

“Tindakan Zahid itu dikira sabotaj terhadap usaha Agong untuk mempercepatkan persidangan Parlimen… Ini bukan salah UMNO, jangan salahkan UMNO,” katanya kepada Agenda Daily baru-baru ini.

Jelasnya, Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO tidak akan mengikut jejak Zahid yang memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan supaya segera membuka Parlimen.

Malah, Zahidi menegaskan keputusan untuk tidak mengikut tindakan Zahid diambil memandangkan usaha untuk membuka sidang sedang berjalan dan sekiranya mereka menerima keputusan tersebut ia akan dianggap sebagai penghinaan kepada Agong.

“Agong buat mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja Melayu, jumpa dengan Speaker untuk bincang mengenai persidangan Parlimen. Jadi takkan kami nak hina usaha Agong dengan membuat sabotaj sokong pada perancangan Zahid?” katanya lagi.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata lagi tidak akan menandatangani surat akuan sekiranya disuruh Zahid.

“Saya belum dipanggil dan tak akan tandatangan usaha itu,” ujarnya.

Spekulasi timbul apabila Zahid didakwa sedang melancarkan gerakan untuk mendesak Menteri UMNO meletakkan jawatan di samping menetapkan tarikh akhir 1 Ogos bagi parti itu keluar daripada kerajaan PN.

Zahid turut dilaporkan aktif mengarahkan menteri-menteri daripada partinya untuk meletakkan jawatan sebelum 7 Julai, tarikh di mana Kabinet akan bermesyuarat mengenai sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir bulan ini.

Difahamkan, Zahid akan memanggil Mesyuarat Khas MT pada 7 Julai ini sekiranya tuntutan 14 tempoh hari tersebut tidak dipenuhi, pelbagai spekulasi sedang berlegar-legar dalam media sosial berhubung ketetapan yang akan diputuskan selepas mesyuarat nanti.

Sumber dalaman parti memberitahu Agenda Daily satu keputusan penting akan dimuktamadkan selepas mesyuarat tersebut dan ia dirancang rapi Zahid bagi memastikan setiap Ahli MT patuh kepada ketetapan yang akan diputuskan dengan alasan kononnya kerajaan PN derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembukaan Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR