Guna kuasa undi anda untuk tubuhkan sebuah kerajaan yang stabil: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan kepada semua pengundi di Melaka untuk menggunakan kuasa undi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil bagi mengelakkan berulang lagi krisis politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata pengundi perlu mengambil pengajaran pergelutan kuasa pemimpin parti politik yang memerintah Melaka sebelum ini sehingga menyebabkan timbulnya krisis politik dan menambah kesusahan rakyat yang sudah terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kerana ini (PRN) berlaku ialah angkara perbuatan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab dalam situasi negeri Melaka dan negara masih berdepan dengan pandemik,” katanya semasa ceramah utama Melaka Bangkit Gemilang bersama PN yang disiarkan secara dalam talian melam tadi.

Bagi mengelakkan episod samapemimpin politik terlalu sibuk berebut kuasa berulang sehingga mengakibatkan kehidupan rakyat terjejas, Muhyiddin menggesa supaya pengundi Melaka menggunakan kuasa undi mereka untuk memilih parti yang lebih layak untuk memerintah kerajaan negeri.

“Esok bila mana pusat-pusat pembuangan undi saya kira akan dibuka mulai mungkin jam lapan pagi maka inilah kesempatan dan peluang yang amat baik bagi saudara-saudara kita yang ada di Melaka untuk menggunakan kuasa undinya the power of votes yang mereka ada untuk menentukan apa kehendak tujuan dan cita-cita mereka ini akan terlaksana.

“Bila mana mereka memberikan sokongan yang padu kepada semua calon Perikatan Nasional dan membentuk kerajaan pada 21 November akan datang,” katanya lagi.

Tegas Muhyiddin, peluang semasa PRN kali ini perlu digunakan sebaiknya untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang stabil dengan kuasa undi yang mereka ada.

“Jadi ini juga satu ruang dan peluang yang terbaik untuk orang Melaka menggunakan kuasa undi yang ada untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil,” katanya lagi.

Bagi membentuk kerajaan yang stabil, Muhyiddin berkata ia memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi adalah lebih baik sekiranya jumlah yang dimenangi melebihi angka tersebut.

“Untuk mempunyai simple majoriti (majoriti mudah) untuk orang Melaka apa simple majoritinya, 15 kerusi DUN mesti dapat dimenangi oleh satu-satu parti untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang mudah.

“Satu kerusi lebih 14 campur satu kerana 28 DUN yang dipertandingkan,” katanya lagi.

Muhyiddin menggesa agar pengundi Melaka mengambil iktibar pengalaman pahit yang lalu apabila dua kerajaan terdahulu yang tidak stabil jatuh akibat perebutan kuasa sesama mereka dan memberi peluang kepada PN untuk menerajui kerajaan negeri pula kali ini.

“Saya nasihatkan supaya pilih kerajaan PN dan kita telah meletakkan 28 calon, kalau seboleh mungkinnya bukan pilih setakat 15. Saya rasa boleh dapat 15.

“Seboleh mungkin bagi 18, 19 atau 20 kerusi sebaik mungkin. Saya bercakap ini bukan takabbur, ini andaian,” katanya lagi.

Menurut Muhyiddin lagi, Melaka merupakan sebuah negeri yang unik dan terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, ia menuntut sebuah kerajaan baharu yang berintegriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik kepada rakyatnya.

“Mereka telah pun menyatakan harapan dalam masa PRN yang sedang pun berlangsung sekarang ni akan terbentuklah sebuah kerajaan yang berintegriti kerajaan yang telus, kerajaan yang akan dapat melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dapat membela nasib rakyat jelata tidak kira apa kaum dan latar belakang mereka.

“Kerana mereka ada harapan dia ada cita-cita, supaya hidup mereka menjadi lebih bahagia,” katanya lagi.

Rakyat Melaka akan memilih kerajaan baharu melalui PRN yang akan diadakan esok, setelah dua kerajaan yang memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – tumbang setelah lebih setahun.

Kerajaan PH pimpinan Adli Zahari memerintah selama 22 bulan sebelum tumbang apabila beberapa wakil rakyat, termasuk daripada DAP, mengisytiharkan keluar parti, menyusul kejatuhan kerajaan PH peringkat Persekutuan dan terbentuknya Kerajaan PN, pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan BN Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada UMNO pula bertahan kira-kira 17 bulan, sebelum dua wakil rakyat UMNO, dan masing-masing seorang dari Bersatu dan Bebas, menarik sokongan terhadapnya, susulan krisis perebutan jawatan Ketua Menteri serta projek bernilai jutaan ringgit.

Kerajaan PN peringkat Persekutuan pula tumbang setelah dikhianati 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik balik sokongan diberikan kepada Muhyiddin dan PN.

BERITA BERKAIT
POPULAR