
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa meletak jawatan susulan kekalahan teruk parti itu dalam PRU-15.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melabel pembangkang sebagai munafik apabila tidak bersetuju dengan cadangannya sebelum ini supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera walaupun semasa musim banjir.
Presiden UMNO itu nampaknya naik angin selepas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memulakan petisyen bagi membantah UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan semasa musim banjir tetapi sebenarnya batang hidung pemimpin pembangkang pun tidak nampak semasa banjir di Johor baru-baru ini.
“Situasi ini menggambarkan sebuah `kemunafikan’ yang nyata oleh pembangkang yang sedang gigih memanipulasikan isu banjir kerana takut PRU-15 diadakan.
“Ironinya semasa banjir kilat berlaku pembangkang tidak kelihatan, malah dalam kesibukan meneruskan kempen politik untuk menghasut kebencian bagi berdepan PRU-15,” kata Zahid dalam hantaran di Facebook.
Zahid berkata petisyen dilancarkan oleh Rafizi itu tidak berguna kerana rakyat sebenarnya mahu turun mengundi walaupun pada musim banjir.
“Petisyen sebenar rakyat adalah menterjemahkan rasa meluat terhadap kemunafikan pembangkang yang telah banyak merosakkan negara melalui peti undi,” kata Zahid lagi.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz mendakwa ahli parlimen pembangkang tidak kelihatan di kawasan masing-masing ketika banjir kilat melanda negeri itu baru-baru ini.
Untuk rekod, Zahid sebelum ini menyatakan kesediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkempen meredah banjir walaupun semasa musim tengkujuh sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertindak membubar Parlimen.
Bagaimanapun, kenyataan Zahid itu menerima kritikan dan kecaman orang ramai yang menyifatkan tidak sensitif dengan kesusahan rakyat apabila sanggup bermain politik demi kepentingan peribadi masing-masing.
Spekulasi juga mengatakan Ismail Sabri mungkin membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 September ini dan sekaligus memberi laluan PRU-15 diadakan.